PEMAIN  hoki negara  Nik Muhammad Aiman (kanan) berlatih  bersama rakan  sebelum ke saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia.
PEMAIN hoki negara Nik Muhammad Aiman (kanan) berlatih bersama rakan sebelum ke saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Tiada sebarang alasan untuk skuad hoki negara gagal layak ke Piala Dunia di Bhubaneswar, India tahun depan menerusi kempen kelayakan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di London, bermula esok.

Demikian pandangan kapten Malaysian Tigers Mohamad Sukri Abdul Mutalib yang yakin skuad negara mampu layak ke Piala Dunia buat kali kedua berturut-turut selepas The Hague, Belanda dua tahun lalu.

“Bagi saya ini tugasan yang wajib untuk layak ke Piala Dunia. Kami tidak ada sebarang alasan untuk gagal.

“Sekarang kami perlu laksanakan tanggungjawab ini.

“Saya tahu bebanan setiap pemain tinggi tapi ini cabaran yang perlu kami ambil.

“Kami perlu menempuhi cabaran ini sebagai satu pasukan dan sudah tentu mengharapkan untuk layak ke Piala Dunia,” katanya.

Jelas Sukri, kini terpulang kepada setiap pemain untuk memenuhi misi itu selepas melakukan persiapan rapi selama ini.

“Kami sudah lakukan segala persiapan dan sekarang adalah masanya untuk membuktikannya di atas padang,” katanya.

Tahap keyakinan skuad negara ketika ini dilihat tinggi selepas mencatat dua kemenangan berturut-turut pada sesi pemanas badan apabila menewaskan skuad pembangunan England 4-2 serta Wales 4-1.

Skuad negara akan turun pada perlawanan pertama peringkat Kumpulan A bertemu Argentina, Jumaat ini.

Selain bertemu pasukan ranking pertama dunia itu, Malaysia juga bakal bertemu England, Korea Selatan dan China pada aksi peringkat kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2017 @ 9:52 AM