Harian Metro


Putrajaya: Pencapaian calon peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2016 secara keseluruhan terus meningkat dalam semua kriteria pengukuran.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, peningkatan itu boleh dilihat menerusi Purata Nilai Gred Keseluruhan Nasional (PNGK), calon yang mendapat A dalam lima dan empat mata pelajaran serta peningkatan pada lulus penuh.

Menurutnya, PNGK Nasional mencatatkan peningkatan daripada 2.65 dalam STPM 2015 kepada 2.71 bagi STPM 2016 malah PNGK calon sekolah kerajaan juga mengatasi PNGK Nasional iaitu 2.72.

"Bilangan calon memperolehi PNGK 4.00 daripada keseluruhan calon hadir dalam peperiksaan STPM 2016 bertambah iaitu daripada 335 calon (0.80 peratus) kepada 565 calon (1.31 peratus).

"Selain itu, bilangan dan peratusan calon mendapat PNGK 3.00 ke atas mencatatkan penambahan iaitu kepada 16,263 calon (37.62 peratus) pada 2016 berbanding 2015 14,263 calon (33.97 peratus)," katanya pada Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM 2016 di sini, hari ini.

Beliau berkata, calon mendapat PNGK 2.75 ke atas juga mencatatkan peningkatan iaitu daripada 48.49 peratus jumlah calon dalam STPM 2015 kepada 51.83 peratus calon hadir dalam STPM 2016.

"Dengan peningkatan peratusan dan bilangan calon mendapat PNGK 2.75 ke atas, saya menjangkakan peluang lepasan STPM 2016 untuk diterima masuk ke universiti awam (UA) adalah lebih besar," katanya.

Terengganu kekal negeri terbaik di peringkat nasional dalam keputusan STPM 2016, untuk tiga tahun berturut-turut dengan PNGK 2.85, mengatasi PNGK nasional 2.71.

Di Johor, pencapaian pelajar STPM 2016 mencatatkan peningkatan PGNK 2.81 berbanding 2.76 pada 2015.

Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Azman Adnan berkata, nilai PGNK Johor mengatasi nilai PGNK peringkat kebangsaan iaitu 2.71.

Beliau berkata, bilangan calon lulus penuh satu hingga lima mata pelajaran meningkat sebanyak 0.35 peratus iaitu daripada 98.74 peratus pada 2015 kepada 99.09 peratus pada 2016 manakala 60 daripada 86 sekolah mencapai kelulusan penuh pada 2016.

Menurutnya, 89 calon mencapai PGNK 4.0 berbanding 50 calon pada 2015.

Katanya, daripada jumlah berkenaan, 64 adalah calon aliran Sastera dan 25 calon aliran Sains.

"Empat calon Johor menerima Anugerah Pelajar Terbaik Peringkat Kebangsaan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) termasuk Lim Lee Peng dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Putra, Batu Pahat; Ng Xi Ye dari SMK Taman Kluang Barat, Kluang dan Khairunnisaq Khairudin dari SMK Bandar Mas, Kota Tinggi.

"Manakala seorang pelajar perempuan Orang Kurang Upaya (OKU) iaitu Lim Xin Huo, 19, yang mengalami masalah rabun teruk dari SMK Seri Bandar Pontian juga menerima anugerah pelajar terbaik apabila mencapai PGNK 3.67.

"SMK Bandar Tenggara, Kulai yang mencapai PGNK 3.26 iaitu peratus lulus penuh selain mencatatkan enam calon cemerlang turut menerima Anugerah Sekolah Terbaik Peringkat Kebangsaan daripada MPM," katanya.

Secara keseluruhannya seramai 4,830 calon menduduki STPM pada 2016.

Di Kelantan, 43 daripada 3,564 calon STPM 2016 memperoleh PNGK 4.00 berbanding 23 orang sebelum ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Muhamad Zahari Othman berkata, daripada jumlah itu, 30 calon memperoleh A untuk semua mata pelajaran diduduki.

"Selain itu, dua sekolah dipilih dan dianugerahkan dalam kalangan 10 sekolah terbaik peringkat nasional iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puteri, Kota Bharu danSMK Sultan Ibrahim 2, Pasir Mas," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM 2016 di Bilik Mesyuarat Dewan Bunga Raya, JPN Bandar Baru Tunjong, di Kota Bharu.

Beliau berkata, peratus kelulusan keseluruhan calon STPM 2016 adalah 99.05 peratus atau 3,530 calon berbanding 98.26 peratus atau 3,447 calon pada tahun sebelumnya dan menunjukkan peningkatan 0.76 peratus.

Di Kedah, 46 calon STPM memperoleh PNGK 4.0.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Sofaruddin Ismail berkata, bilangan itu meningkat berbanding 24 calon mendapat keputusan yang sama pada 2015.

Beliau berkata, 43 pusat daripada 61 pusat peperiksaan peperiksaan STPM 2016 mencatatkan pencapaian lulus penuh.

"Walaupun berlaku peningkatan bilangan calon yang mencapai PNGK 4.0 tetapi minimum purata bagi negeri Kedah meningkat hanya 0.01 peratus iaitu 2.77 bagi 2016 berbanding 2.76 pada 2015.

"Sebanyak 43 sekolah mencatatkan pencapaian lulus penuh membabitkan 16 sekolah kategori luar bandar dan 27 sekolah dari kategori bandar," katanya pada sidang media Kenyataan Keputusan STPM 2016 nregeri Kedah di Sekolah Menengah Kebangsaan Che Tom di Sungai Petani.

Tambah beliau, 42 sekolah mencapai minimum Gred Purata Sekolah (GPS) 2.65 dan ke atas pada 2016 berbanding 37 sekolah pada 2015.

Di Negeri Sembilan, 16 pelajar meraih PNGK 4.0 bagi.

Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Rusni Ab Jalil berkata, ia membabitkan tujuh pelajar jurusan Sains dan sembilan pelajar jurusan Sastera.

Katanya, 1,435 calon menduduki peperiksaan itu dan 1, 394 lulus sekurang-kurangnya satu mata pelajaran.

"Sebanyak 22 matapelajaran ditawarkan bagi STPM 2016. Seramai 78 calon lulus 5 Prinsipal, 959 calon lulus 4 Prinsipal dan 184 calon lulus 3 Prinsipal," katanya.

Sementar itu beliau berkata 107 calon lulus 2 Prinsipal dan 66 yang lain lulus 1 Prinsipal.

Rusni berkata, subjek Matematik menunjukkan peningkatan sebanyak 33.3 peratus diikuti Sains Sukan (13.8%) dan Bahasa Tamil (4.6%).

"Secara keseluruhan, PNKG negeri meningkat iaitu 2.69 bagi tahun lalu berbanding 2.66 pada 2015," katanya.

Di Perak, 68 calon STPM mendapat PNGK 4.00 bagi 2016.

Timbalan Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Mohd Rosli Ahmad berkata, jumlah itu sekaligus menunjukkan peningkatan 0.45 peratus berbanding keputusan STPM tahun 2015 iaitu 49 calon.

Katanya, Sekolah Menengah Kebangsaan Sam Tet, Ipoh mencatatkan bilangan peningkatan PNGK tertinggi.

"Bagi Gred Purata Sekolah (GPS) pula, SMK Tsung Wah, Kuala Kangsar mencatat keputusan tertinggi iaitu 3.17.

"SMK Dato Ahmad, Lenggong pula mencatat lonjakan GPS tertinggi berbanding tahun 2015 iaitu daripada 1.93 kepada 2.65 pada tahun 2016," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pengumuman keputusan STPM 2016 di Jabatan Pendidikan Negeri Perak di Ipoh.

Di Sabah, 31 daripada 6,361 calon STPM 2016 memperoleh PNGK 4.00 berbanding 12 orang tahun sebelumnya.

Pengarah Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Datuk Maimunah Suhaibul berkata, daripada jumlah keseluruhan itu, 6,244 calon atau 98.16 peratus lulus penuh dalam STPM 2016.

"Pada 2016, bilangan calon yang menduduki STPM adalah 6,361 berbanding 6,055 pada 2015 dan ia menunjukkan ada peningkatan jumlah calon seramai 306 calon.

"GPNK menunjukkan peningkatan 0.07 iaitu 2.58 pada 2016 berbanding 2.51 pada 2015," katanya dalam ucapan yang disampaikan oleh Ketua Sektor, Sektor Penilaian dan Peperiksaan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) Bad Hamid Musli di Wisma Pendidikan hari ini.

Katanya lagi, keputusan itu menunjukkan pencapaian prestasi negeri ini semakin baik.

Di Melaka, 26 calon STPM memperoleh PNGK 4.00 berbanding 28 calon sebelum ini.

Timbalan Pengarah Pendidikan negeri Mohd Rashid Mohd Sidek berkata, 1,271 calon STPM 2016 mendapat keputusan lulus penuh berbanding 1,245 calon pada 2015.

"Daripada jumlah itu 502 calon memperolehi gred PNGK 3.00 ke atas.

"Bilangan calon cemerlang (memperoleh PNGK 4.00) sentiasa stabil menunjukkan format Pentaksiran Baharu STPM ini memberi kelebihan kepada calon untuk menyerlahkan potensi mereka," katanya pada sidang media mengumumkan keputusan STPM negeri Melaka di Jabatan Pendidikan Negeri di Bukit Baru.

Menurutnya 17 sekolah memperoleh keputusan lulus 100 peratus untuk STPM 2016.

Di Pulau Pinang, 44 daripada 2,285 calon mendapat PGNK 4.00.

Keputusan itu diumumkan Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Pulau Pinang Mohd Jamil Mohammed di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Jit Sin di Bukit Mertajam.

Mohd Jamil berkata, 18 sekolah turut mencapai kelulusan 100 peratus antaranya ialah SMJK Jit Sin, SMJK Perempuan China, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Al Mashoor dan SMK Seberang Jaya.

"Secara keseluruhan pencapaian pelajar meningkat pada tahun ini berbanding tahun lalu, " katanya.

Turut diumumkan ialah pelajar terbaik Calon Bekerperluan Khas (Braille) iaitu Chew Sui Teng dari SMK (P) St George yang mendapat PGNK 4.0.

Di Perlis, 11 calon STPM 2016 memperoleh PNGK 4.0 berbanding empat orang bagi STPM 2015.

Pengarah Jabatan Pendidikan negeri Izmi Ismail berkata, peningkatan lebih seratus peratus itu juga menyaksikan dua pelajar negeri itu terpilih calon terbaik peringkat kebangsaan.

"Negeri Perlis mencatat tempat ketiga selepas Terengganu dan Pulau Pinang bagi keputusan cemerlang untuk 2016.

"Kualiti pencapaian calon juga meningkat dengan peningkatan calon yang mendapat PNGK 3.0 daripada 177 orang pada STPM 2015 kepada 221 orang tahun lalu," katanya pada sidang media Keputusan STPM 2016 di Sekolah Kebangsaan Seberang Ramai, Kuala Perlis.

*Laporan oleh Siti A'isyah Sukaimi, Nursyahirah Marzuki, Mary Victoria Dass, Hazira Ahmad Zaidi, Nor Farhani Che Ad, Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor, Muhamad Izzat Nasuruden, Norasikin Daineh, Nur Ain Musdad, Azma Razana Johari, Dziyaul Afnan Abdul Rahman dan Rosli Ilham

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2017 @ 3:40 PM
PELAJAR Sekolah Seri Putera yang mendapat keputusan cemerlang dalam STPM. FOTO Effendy Rashid
PELAJAR Sekolah Seri Putera yang mendapat keputusan cemerlang dalam STPM. FOTO Effendy Rashid