PELAJAR Sekolah Seri Putera yang mendapat keputusan cemerlang dalam STPM. FOTO Effendy Rashid
PELAJAR Sekolah Seri Putera yang mendapat keputusan cemerlang dalam STPM. FOTO Effendy Rashid
Siti A'isyah Sukaimi dan Nursyahirah Marzuki


Putrajaya: Pencapaian calon peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2016 secara keseluruhan terus meningkat dalam semua kriteria pengukuran.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, peningkatan itu boleh dilihat menerusi Purata Nilai Gred Keseluruhan Nasional (PNGK), calon yang mendapat A dalam lima dan empat mata pelajaran serta peningkatan pada lulus penuh.

Menurutnya, PNGK Nasional mencatatkan peningkatan dari 2.65 dalam STPM 2015 kepada 2.71 bagi STPM 2016 malah PNGK calon sekolah kerajaan juga mengatasi PNGK Nasional iaitu 2.72.

"Bilangan calon memperolehi PNGK 4.00 daripada keseluruhan calon hadir dalam peperiksaan STPM 2016 bertambah iaitu daripada 335 calon (0.80 peratus) kepada 565 calon (1.31 peratus).

"Selain itu, bilangan dan peratusan calon mendapat PNGK 3.00 ke atas mencatatkan penambahan iaitu kepada 16,263 calon (37.62 peratus) pada 2016 berbanding 2015 14,263 calon (33.97 peratus)," katanya pada Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM 2016 di sini, hari ini.

Beliau berkata, calon mendapat PNGK 2.75 ke atas juga mencatatkan peningkatan iaitu daripada 48.49 peratus jumlah calon dalam STPM 2015 kepada 51.83 peratus calon hadir dalam STPM 2016.

"Dengan peningkatan peratusan dan bilangan calon mendapat PNGK 2.75 ke atas, saya menjangkakan peluang lepasan STPM 2016 untuk diterima masuk ke universiti awam (UA) adalah lebih besar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2017 @ 1:29 PM