Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

Ipoh: Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2014 bagi negeri Perak mencatatkan peningkatan sebanyak 0.8 peratus iaitu 98.01 peratus calon mendapat keputusan lulus penuh berbanding 97.21 peratus pada 2013.

Timbalan Pengarah Pendidikan Perak, Zulkurnaini Hussin berkata, walaupun mencatatkan peningkatan keputusan lulus penuh namun jumlah calon untuk 2014 berkurangan sebanyak 1,305 orang iaitu 3,971 orang calon berbanding 5,276 calon pada 2013.

Katanya, daripada jumlah calon itu, 48 calon (1.21%) mendapat lulus lima prinsipal, 2,689 calon (67.72%) lulus empat prinsipal, 624 calon (15.71%) lulus tiga prinsipal, 316 calon (7.96%) lulus dua prinsipal dan 215 calon (5.41%) lulus 1 prinsipal.

Menurutnya, bilangan pelajar yang mendapat A dalam semua mata pelajaran yang diambil dan mendapat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 adalah seramai 53 orang iaitu penurunan seramai 16 orang berbanding 2013.

"Sebanyak 15 mata pelajaran menunjukkan peningkatan antaranya Matematik Tambahan, Perakaunan, Pengajian Am dan Kimia manakala enam mata pelajaran menunjukkan penurunan antaranya Sains Sukan, Usuluddin dan Biologi.

"Seramai empat orang calon dari negeri ini mendapat penghargaan di peringkat kebangsaan manalala dua sekolah menerima penghargaan sebagai sekolah cemerlang iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan(SMK) Hua Lian, Taiping dan SMK Shing Chung, Sungai Siput," katanya pada sidang media mengumumkan keputusan itu di Jabatan Pendidikan Negeri, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2015 @ 1:09 PM