AMINUDIN dua dari kiri selepas sidang media. FOTO Mohamad Fahd Rahmat
AMINUDIN dua dari kiri selepas sidang media. FOTO Mohamad Fahd Rahmat
Mohamad Fahd Rahmat


Johor Bahru: Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2015 negeri Johor meningkat kepada 2.76 mata berbanding tahun lalu 2.70 mata selain mengatasi peringkat kebangsaan iaitu 2.65 mata.

Pengarah Pendidikan Negeri Johor Aminudin Adam berkata, bagi kelulusan peringkat prinsipal pula, jumlah bilangan calon lulus penuh lima mata pelajaran meningkat 0.12 peratus kepada 98.74 peratus bersamaan 4,866 calon.

Katanya, sebanyak 60 daripada 88 sekolah di negeri ini mencapai kelulusan penuh 100 peratus.

"Pada 2015 seramai 50 calon mendapat PNGK 4.00 berbanding 43 calon pada 2014. Daripada jumlah itu, 29 calon daripada aliran sastera dan bakinya aliran sains bersamaan 32 calon perempuan dan 18 lelaki.

"Sebanyak 24 sekolah menghasilkan calon cemerlang iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ibrahim Kulai (6 calon) SMK Tinggi Batu Pahat (5), SMK Seri Bandar Pontian, Pontian (5), SMK Dato' Sri Amar Diraja Muar (4), SMK Tasek Utara (4) dan SMK Tinggi Kluang (4)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Pengumuman Keputusan STPM 2015 di Jabatan Pendidikan Negeri Johor di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2016 @ 12:40 PM