Oleh Siti Fatimah Hassan dan Siraj Mohd Zaini

Kuala Lumpur: Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi seluruh negara mencatatkan peningkatan sebanyak 0.96 peratus iaitu 97.91 peratus calon mendapat lulus penuh berbanding 96.85 peratus pada 2013.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) Prof Datuk Dr Mohd Noh Dalimin berkata, peningkatan itu adalah dari segi Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) negara, peratusan calon mendapat PNGK 4.00, PNGK 3.50 ke atas, PNGK 2.00 hingga 3.49.

Menurutnya, PNGK negara bagi keputusan STPM 2014 lalu adalah lebih baik iaitu meningkat kepada 2.62 berbanding 2.57 pada 2013, manakala Min PNGK sekolah kerajaan juga meningkat daripada 2.55 kepada 2.62.

“Peratus calon yang mendapat lulus penuh dalam satu hingga lima mata pelajaran menunjukkan peningkatan dan meningkat daripada 96.85 peratus atau 53,494 calon pada 2013 kepada 97.81 atau 41,915 calon pada 2014.

“Lulus penuh dalam empat mata pelajaran mendapat peratusan tertinggi pada peperiksaan STPM 2014 iaitu sebanyak 63.80 peratus atau 27,342 calon dan menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya,” katanya pada sidang media Pengumuman Keputusan STPM 2014 di Auditorium MPM, di sini, semalam.

Sementara itu, Dr Mohd Noh berkata, peratusan calon mendapat PNGK 4.00 meningkat kepada 0.91 peratus iaitu 390 calon berbanding 0.89 peratus pada STPM 2013.

Katanya, bilangan calon mendapat PNGK 3.50 ke atas juga meningkat kepada 9.09 peratus iaitu 3,895 calon berbanding 8.18 peratus pada tahun sebelumnya.

“Pada STPM 2014 lalu, seramai 10 calon yang mengambil lima mata pelajaran dan mendapat semua A berbanding hanya lapan orang calon pada 2013 yang menunjukkan peningkatan dari 0.90 peratus kepada 0.95 peratus.

“Namun demikian, walaupun peratusan calon pada PNGK meningkat, bilangan calon yang mendaftar untuk menduduki STPM pada 2014 merosot iaitu 42,854 calon mendaftar berbanding 58,355 pada 2013,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Noh berkata, peningkatan pencapaian itu adalah disebabkan sistem pentaksiran baru STPM di mana calon diuji pencapaiannya mengikut perkara yang dipelajari pada penggal berkenaan saja.

“Calon juga boleh memperbaiki pencapaian melalui peperiksaan ulangan pada setiap penggal. Kerja kursus juga membantu calon meningkatkan pemahaman mengenai perkara yang dipelajari dan sekaligus dapat menyumbang ke arah peningkatan pencapaian keseluruhan calon,” katanya.

Pada majlis sama, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Haji Mohd Said Seremban diumumkan antara 10 buah sekolah terbaik STPM 2014 diikuti SMK Jinjang Kuala Lumpur, SMK Kepong Baru, SMJK Sin Min Sungai Petani dan Kolej Islam Sultan Alam Shah Klang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2015 @ 9:32 AM