ZLATAN Ibrahimovic meraikan jaringan gol kemenangan Manchester United ketika final Piala Liga di Stadium Wembley menentang Southampton. FOTO Reuters
ZLATAN Ibrahimovic meraikan jaringan gol kemenangan Manchester United ketika final Piala Liga di Stadium Wembley menentang Southampton. FOTO Reuters
Reuters

London: Penyokong Manchester United perlu berkumpul di luar rumah Zlatan Ibrahimovic untuk memastikan dia menyambungkan kontraknya di kelab itu, kata pengurus Jose Mourinho selepas dua gol pemain Sweden itu menentukan kejuaraan Piala Liga, awal pagi tadi.

Pemain berusia 35 tahun itu menyempurnakan sepakan percuma pada separuh masa pertama di Wembley sebelum menandukkan gol kemenangan lewat perlawanan bagi memastikan kemenangan 3-2 Manchester United ke atas Southampton.

Jaringan itu membawa jumlah gol Ibrahimovic musim ini kepada 26 gol dalam semua kejohanan.

Keputusan Mourinho untuk membawa Ibrahimovic ke Manchester United terbukti berbaloi dan dia mengharapkan Ibrahimovic akan bersamanya sekurang-kurangnya bagi satu musim lagi.

Namun, Ibrahimovic dikatakan masih mempertimbangkan pilihannya ketika ini.

Ibrahimovic sebelum ini pernah bersama Mourinho ketika pengurus warga Portugal itu mengendalikan Inter Milan.

"Saya tidak pernah merayu pemain supaya bermain untuk saya.

"Satu hari dulu, dia membuat keputusan untuk pergi ke Barcelona dan saya sedih tetapi tidak membuat apa-apa untuk menghalangnya.

"Saya tidak merayu tetapi jika perlu, mungkin penyokong United boleh pergi ke rumahnya dan duduk di luar semalaman. Kami semua akan percaya dia bersama kami untuk satu lagi musim," kata Mourinho.

Mourinho berkata, dia tidak pernah meragui Ibrahimovic dapat menghadapi cabaran bola sepak Inggeris di peringkat akhir kerjayanya.

"Saya pengurusnya (di Inter). Saya tahu potensinya," katanya.

Ibrahimovic kini berjaya mengumpulkan kejuaraan di lima negara sepanjang kerjayanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Februari 2017 @ 9:30 AM