LUKAKU  menerima rawatan  sebelum dikeluarkan dari padang sambil memakai topeng oksigen. FOTO/AFP
LUKAKU menerima rawatan sebelum dikeluarkan dari padang sambil memakai topeng oksigen. FOTO/AFP
AFP

MANCHESTER: Pengendali Manchester United Jose Mourinho mendedahkan Zlatan Ibrahimovic tidak dapat beraksi untuk tempoh sebulan, tetapi dia berharap Romelu Lukaku akan kembali cergas selepas mengalami kecederaan di kepala.

Ibrahimovic dikeluarkan ketika rehat sewaktu United seri menentang Burnley pada Boxing Day, tetapi Mourinho tidak mendedahkan tahap kecederaan yang dialami bekas bintang Paris Saint-Germain itu sehingga terpaksa berehat sepanjang Januari.

“Zlatan berehat sebulan,” kata Mourinho selepas keputusan seri 0-0 menentang Southampton.

IBRAHIMOVIC tidak dapat beraksi selama sebulan. FOTO/AFP
IBRAHIMOVIC tidak dapat beraksi selama sebulan. FOTO/AFP

Ibrahimovic baru saja kembali menyertai skuad United selepas terlepas separuh babak awal musim ini kerana kecederaan lutut dialaminya April lalu.

Tanpa Ibrahimovic untuk tempoh yang panjang, Mourinho berdepan pula masalah baru apabila penyerang Belgium, Lukaku diusung keluar pada babak pertama menentang Southampton selepas kepalanya terhantuk kepala Wesley Hoedt.

Dia menerima rawatan hampir lima minit sebelum dikeluarkan dari padang sambil memakai topeng oksigen.

MOURINHO (kanan) memberi arahan kepada anak buah. FOTO/REUTERS
MOURINHO (kanan) memberi arahan kepada anak buah. FOTO/REUTERS

Namun bagi Mourinho keadaan Lukaku tidak serius. “Itulah bola sepak. Dia cuma tidak bernasib baik. Saya rasa dia berebut bola dengan pertahanan Belanda itu dan Lukaku tidak bernasib baik, Hoedt juga tidak bernasib baik.

“Tidak ada apa-apa yang agresif dan saya harap, tidak ada yang serius. Tetapi akibatnya dia tidak dapat bermain untuk baki perlawanan tadi,” katanya.

Perlawanan United seterusnya ialah menentang kelab lama Lukaku, Everton di Goodison Park esok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Disember 2017 @ 8:14 AM