ROJO (kiri) sedia jadi tonggak utama apabila United melayan kunjungan Brighton. -Foto EPA
ROJO (kiri) sedia jadi tonggak utama apabila United melayan kunjungan Brighton. -Foto EPA
ZLATAN IBRAHIMOVIC
ZLATAN IBRAHIMOVIC
AFP

MANCHESTER, England: Zlatan Ibrahimovic bersedia untuk melakukan penampilan pertama dalam kesebelasan utama Manchester United bagi tempoh tujuh bulan selepas pulih daripada kecederaan lutut yang mengancam kariernya sebelum ini.

Penyerang Manchester United itu menikmati musim pertama yang cemerlang di Old Trafford selepas berhijrah dari Paris Saint-Germain pada Julai 2016.

Bagaimanapun, dia mengalami kecederaan lutut ketika pasukannya mengatasi Anderlecht pada suku akhir Liga Europa, April lalu.

Ibrahimovic serta pertahanan, Marcos Rojo yang mengalami kecederaan sama pada perlawanan itu, kini sudah pulih sepenuhnya dan bersedia menjadi tonggak utama apabila United melayan kunjungan Brighton pada saingan Liga Perdana Inggeris, malam esok.

Ibrahimovic yang juga bekas penyerang Sweden, sudah melakukan penampilan semula sebagai pemain gantian dalam dua perlawanan terakhir United bermula dengan kemenangan 4-1 ke atas Newcastle di Old Trafford, Sabtu lalu disusuli kekalahan 0-1 di tangan Basel pada saingan Liga Juara-Juara, awal pagi kelmarin.

Rojo melakukan penampilan semula dengan beraksi di pertahanan tengah ketika bertemu Basel dan kemungkinan akan diminta beraksi di posisi sama malam esok dengan Phil Jones mengalami kecederaan paha sementara pertahanan Eric Bailly turut bergelut untuk pulih daripada kecederaan.

“Saya fikir Marcos mampu beraksi sejak beberapa minggu lalu.

“Kami tidak perlu memberi tekanan kepadanya tapi dia sudah menjalani latihan untuk tempoh yang agak lama.

“Kami mahukan khidmatnya selepas tidak dapat menggunakan Jones. Marcos diperlukan untuk membentuk keseimbangan dalam pasukan,” kata pengurus United, Jose Mourinho.

Di sebalik kebimbangan di benteng pertahanan, Mourinho hampir pasti mempunyai skuad lengkap buat kali pertama dalam tempoh sebulan dengan Paul Pogba dijangka mampu membuat penampilan semula selepas mengalami kecederaan hamstring yang serius.

Pemain tengah Perancis itu menjaringkan gol ketika menentang Newcastle selepas berehat selama dua bulan. Namun dia gagal beraksi dengan baik meskipun bermula baik di awal permainan ketika bertemu Basel.

Dengan beberapa siri perlawanan bakal menyusul, Mourinho melakukan tujuh pertukaran dalam kesebelasan utamanya berbanding di Switzerland dengan Pogba, Anthony Martial, Chris Smalling dan Romelu Lukaku disenaraikan untuk pertemuan dengan Newcastle.

Beberapa lagi penggiliran pemain dijangka berlaku minggu ini kerana Mourinho berharap dapat mengekalkan tahap kecergasan pemain lain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2017 @ 2:36 PM