PEMAIN MCKK Khainor Azam Kamaruddin (kanan) berusaha melepasi empat pemain SHOAW, semalam.
PEMAIN MCKK Khainor Azam Kamaruddin (kanan) berusaha melepasi empat pemain SHOAW, semalam.
myMetro

Kuala Kangsar: Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) membuka tirai Kejohanan Ragbi Premier 7s 2017 peringkat kumpulan dengan penuh yakin apabila membenam cabaran SMKA Sheikh Haji Othman Abdul Wahab (SHOAW).

Menerima sorakan padu di halaman sendiri, MCKK berada di depan menerusi try pertama Khainor Azam, diikuti try kedua Zamir Shaiful dan conversion.

Selepas itu, Syamel Amal menyempurnakan try ketiga untuk pasukan itu menamatkan separuh masa pertama dengan MCKK di depan 17-0.

SHOAW menghidupkan peluang menjadi 17-5 sebaik saja separuh masa kedua bermula. Namun, tuan rumah tidak mudah hilang fokus dan try kali keempat Muhd Harithsyah serta conversion selepas itu mengukuhkan kedudukan MCKK dengan 24-5.

Sebelum tamat perlawanan, MCKK memperoleh try kelima juga melalui Harithsyah sekali lagi bagi menjadikan kedudukan penuh perlawanan 29-5 sekali gus menghadiahkan tiga mata penuh kepada mereka yang berada dalam Kumpulan C.

Jurulatih MCKK yang juga digelar MCKK All Blacks, Fidzamil Basarudin nyata berpuas hati dengan persembahan anak buahnya tetapi menuntut mereka lebih menyerlah selepas ini.

“Sudah tentu kami bersyukur atas kemenangan ini sebab baru habis menyertai kejohanan 15 sebelah. Bertukar format kepada 7 sebelah dalam masa singkat bukan mudah, jadi seronok dan lega dengan kemenangan ini.

“Kami membuat kesilapan mudah sehingga lawan boleh melakukan satu try tadi. Saya harap selepas ini pemain akan mengatasinya,” ujarnya selepas perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Februari 2017 @ 5:05 AM