MALAY College Kuala Kangsar (MCKK) membuktikan bahawa mereka adalah antara pasukan terkuat di dalam kejohanan kali ini selepas berjaya menewaskan kesemua pihak lawan mereka dan mengekalkan rekod tanpa kalah setakat hari ini. FOTO Kejohanan Ragbi MCKK Primer 7s
MALAY College Kuala Kangsar (MCKK) membuktikan bahawa mereka adalah antara pasukan terkuat di dalam kejohanan kali ini selepas berjaya menewaskan kesemua pihak lawan mereka dan mengekalkan rekod tanpa kalah setakat hari ini. FOTO Kejohanan Ragbi MCKK Primer 7s

Kuala Kangsar: Juara empat kali Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) seperti dijangka melangkah ke suku akhir Cup Plate Kejohanan Ragbi MCKK Primer 7s (P7s) di padang Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), hari ini.

Tujuh pasukan lain yang layak berdasarkan ranking ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Hussein Onn (THOR), Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Tiga (ARAS), Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Maktab Sultan Abu Bakar (EC), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Haji Othman Abdul Wahab (SHOAW), Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Mas (SMKTM).

Dalam saingan suku akhir Cup Plate esok, THOR yang menduduki ranking pertama kejohanan akan berdepan SHOAW, SSMP pula akan bertemu SSTMI, ARAS pula bertemu SMKTM dan tuah rumah MCKK pula berdepan EC.

SSTMI yang memburu gelaran kelima selepas menjulang kejuaraan pada 2011, 2012, 2016 dan 2017 menang ke semua perlawanan untuk mengungguli Kumpulan B mengutip sembilan mata walaupun menduduki ranking kelima keseluruhan.

Pasukan itu muncul juara Kumpulan B selepas menewaskan juara 2019 Sekolah Menengah Sains Selangor (SEMAHSUR) 10-7, Maktab Sabah Kota Kinabalu (SCKK) 45-0 dan Sekolah Menengah Kebangsaan HOSBA (SMK HOSBA) 19-14.

Tuan rumah, MCKK turut melangkah ke suku akhir selepas muncul juara Kumpulan C turut menang ke semua perlawanan menewaskan Sekolah Menengah Kebangsaan Abi(SMK ABI) 19-12, Sekolah Menengah Agama Darunajah (SMAD) dari Jakarta, Indonesia 43-5 dan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kuantan (INTEK) 48-0.

ARAS menjuarai Kumpulan A mara ke sukur akhir selepas menang kesemua perlawanan menewaskan Sekolah Menengah Kebangsaan King George V (KGV) 36-0, Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA) 38-5 dan Sekolah Sultan Alam Shah (SAS) 68-0.

SSMP pula menjuarai Kumpulan E menewaskan Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman (ART) 45-0, Sekolah Menengah King Edward VII (KE VII) 22-5 dan Shizuoka Seiko Academy (SSA) 20-7.

Juara 2020 EC dari Johor Bahru pula menjuarai Kumpulan F layak secara automatik ke suku akhir selepas mengalahkan Sekolah Menengah Kebangsaan Victoria (VI) 34-0, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yahya Petra 1 (SSYP1) 17-5 dan SMKTM 19-17.

Perlawanan akhir Cup Plate dijadualkan berlangsung kira-kira pukul 5.15 petang esok. Turut berlangsung saingan suku akhir kategori Bowl dan kategori Shield.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2023 @ 9:28 PM