AFP

Jakarta: Empat individu paling kaya di Indonesia memiliki kekayaan lebih banyak berbanding 100 juta penduduk miskin di negara itu, menurut satu kajian.

Ia menunjukkan masih ramai rakyat Indonesia terpinggir walaupun ekonomi negara itu berkembang pesat.

Agensi membasmi kemiskinan antarabangsa, Oxfam berkata, Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) gagal memenuhi janjinya menangani ketidaksamaan sosial.

Badan itu juga mendesak kerajaan Indonesia segera meningkatkan perbelanjaan terhadap perkhidmatan awam dan memaksa syarikat dan orang kaya membayar lebih banyak cukai.

Satu kajian Oxfam mendapati, ekonomi Indonesia yang berkembang pesat mengurangkan jumlah penduduk miskin.

Bagaimanapun, jurang antara golongan kaya dan miskin meningkat lebih besar dan pantas berbanding negara Asia Tenggara lain dalam tempoh 20 tahun.

“Keuntungan daripada perkembangan ekonomi tidak dikongsi sama rata dan jutaan rakyat dipinggirkan.

“Jurang semakin luas antara yang kaya dan rakyat biasa adalah ancaman serius terhadap kemakmuran masa depan Indonesia.

“Sekiranya ia tidak diatasi, ia akan menyebabkan usaha mengurangkan kemiskinan lebih sukar dan ketidakstabilan sosial akan meningkat,” menurut rumusan kajian itu yang disiarkan awal minggu ini.

Menurut kajian itu, pada 2016, jumlah kekayaan empat individu terkaya di Indonesia yang semuanya lelaki melebihi RM111.25 bilion.

Jumlah itu melebihi harta dimiliki 100 rakyat miskin daripada 255 juta penduduk Indonesia.

Menurut senarai individu paling kaya di Indonesia yang dikeluarkan majalah Forbes, empat orang terkaya negara itu termasuk tiga taikun tembakau iaitu dua beradik, Michael dan Budi Hartono, dan Susilo Wonowidjojo.

Kajian itu mendapati, ketidaksamaan meningkat sejak krisis kewangan Asia 1997 yang membawa kepada lebih banyak dasar pasaran bebas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2017 @ 7:24 AM