GATES, lelaki paling kaya di dunia.
GATES, lelaki paling kaya di dunia.
Agensi

London: Lapan lelaki terkaya di dunia dilaporkan memiliki harta sama dengan separuh daripada populasi dunia - ‘tahap ketidaksamarataan yang mengancam memecah belahkan masyarakat kita,” kata Oxfam, menjelang perasmian Forum Ekonomi Dunia di Davos.

Menurut laporan itu, kekayaan 3.6 bilion penduduk miskin dunia itu sama dengan jumlah harta enam ahli perniagaan Amerika Syarikat, seorang rakyat Sepanyol dan seorang Mexico.

Dipetik daripada senarai bilionair Forbes, ahli perniagaan itu, termasuk pengasas Microsoft, Bill Gates, pengasas bersama Facebook, Mark Zuckerberg dan pengasas Amazon, Jeff Bezos.

Dalam laporannya, Oxfam - persekutuan pertubuhan kebajikan antarabangsa yang memfokuskan usaha mengurangkan kemiskinan global - mengaitkan jurang yang luas antara yang kaya dan yang miskin dengan rasa tidak puas hati yang semakin meningkat terhadap politik aliran utama di seluruh dunia.

“Dari Brexit (keputusan Britain keluar dari Kesatuan Eropah) hingga kepada kemenangan Donald Trump dalam pilihan raya Amerika Syarikat, menunjukkan fahaman rasis dan rasa tidak puas hati terhadap aliran utama politik semakin meningkat.

“Terdapat tanda-tanda yang menunjukkan lebih ramai penduduk di negara kaya sudah tidak bersedia untuk bertolak ansur dengan status mereka,” kata Oxfam dalam laporan terbarunya berjudul ‘Ekonomi untuk 99 peratus.’

Ketidaksamarataan adalah antara isu dalam agenda pertemuan ahli politik dan perniagaan di Davos, Switzerland yang bermula hari ini hingga Jumaat. Kira-kira 3,000 orang akan berkumpul untuk mesyuarat tahunan Forum Ekonomi Dunia itu.

Lapan paling kaya di dunia

• Bill Gates - RM331 bilion

• Amancio Ortega - RM297 bilion

• Warren Buffett - RM269 bilion

• Carlos Sim Helu - RM221 bilion

• Jeff Bezos - RM200 bilion

• Mark Zuckerberg - RM197 bilion

• Larry Ellison - RM193 bilion

• Michael Bloomberg - RM177 bilion

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2017 @ 8:31 AM