AP

Jakarta: Laporan ketidaksamaan di Indonesia menyatakan empat orang terkaya di negara itu memiliki jumlah kekayaan melebihi harta 100 juta penduduk miskinnya.

Laporan yang disiarkan hari ini oleh Oxfam menyatakan Indonesia yang mempunyai lebih 250 juta penduduk, berada di tangga keenam ketidaksamaan di dunia.

Menurut laporan itu, pasaran bebas yang membolehkan orang kaya mengaut sebahagian besar keuntungan berikutan keteguhan ekonomi sejak dua dekad lalu dan tumpuan pemilikan tanah antara aspek yang menyebabkan keadaan itu wujud.

Hasil pelaburan kekayaan seorang daripada empat orang terkaya itu - menurut senarai Forbes, termasuk dua beradik pengusaha rokok Budi Hartono dan Michael Hartono serta Susilo Wonowidjojo - boleh membantu menghapuskan kemiskinan tegar di Indonesia dalam masa setahun.

Menurut Forbes, kombinasi jumlah harta Budi dan Michael ialah AS$17.1 bilion (RM76.1 bilion) , Susilo Wonowidjojo (AS$7.1 bilion - RM31.6 bilion) dan Anthoni Salim (AS$5.7 bilion - RM25.4 bilion).

Menurut laporan itu, penduduk yang dikategorikan sebagai miskin tegar ialah yang berpendapatan AS$1.90 sehari (RM8.45) yang jumlahnya banyak berkurang sejak 2000 namun 93 juta penduduk negara itu masih berpendapatan kurang AS$3.10 (RM13.8) sehari, tahap yang ditetapkan Bank Dunia sebagai miskin.

Oxfam menyatakan Indonesia perlu memperkemas kutipan cukai - yang ketika ini kedua terendah di Asia Tenggara - dengan menaikkan kadar cukai mereka yang berpendapatan tinggi, menaikkan cukai harta warisan dan cukai kekayaan agar boleh digunakan untuk membiayai keperluan rakyat seperti pendidikan dan kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2017 @ 9:09 PM