MANGSA maut di lokasi kejadian. FOTO Facebook Laporan Kemalangan Langkawi.
MANGSA maut di lokasi kejadian. FOTO Facebook Laporan Kemalangan Langkawi.
Hamzah Osman


Langkawi: Pekerja hotel warga Nepal maut selepas motosikal dinaiki terbabas dan melanggar tiang elektrik di Jalan Pantai Tengah di sini, semalam.

Dalam kejadian 6 pagi itu, Pun Par Singh, 27, yang bekerja sebagai pembantu tukang masak di The Frangipani Langkawi Resort & Spa Langkawi, di sini, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Dr Che Ghazali Che Awang berkata, kejadian berlaku apabila mangsa gagal mengawal motosikalnya.

"Sebelum kejadian, mangsa dalam perjalanan dari Pantai Cenang menghala ke arah Kuala Temoyong di sini.

"Mangsa memakai topi keledar ketika kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat hari ini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Februari 2017 @ 9:20 AM