FAHMI, gambar fail. FOTO Bernama
FAHMI, gambar fail. FOTO Bernama
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Keluarga kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin mahu polis menjalankan siasatan berhubung kesahihan penyebaran kononnya fakta siasatan berkaitan kes pembunuhan kanak-kanak itu di media sosial.

Peguam yang mewakili keluarga berkenaan, Fahmi Abd Moin berkata, pihak keluarga sudah membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Baru Subang pada 6.40 petang tadi.

"Laporan berkenaan adalah bagi meminta polis menjalankan siasatan berhubung empat perkara. Antaranya ialah kesahihan maklumat berkenaan, perkara kedua adalah memohon polis menyiasat siapa penyebar posting (hantaran) berkenaan.

"Selain itu, laporan polis turut dibuat bagi menyiasat siapakah pemilik akaun berkenaan dan yang terakhir adalah untuk meminta polis menyiasat kerana melanggar gag order dikeluarkan mahkamah," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, Bukit Aman akan menjalankan siasatan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) berhubung penyebaran maklumat kononnya fakta siasatan berkaitan kes pembunuhan Zayn Rayyan Abdul Matiin di media sosial, semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dilaporkan berkata, penyebaran maklumat yang tidak dapat dipastikan kesahihannya sedemikian adalah satu tindakan yang amat tidak bertanggungjawab.

Berikutan itu, katanya pihaknya akan menghubungi MCMC bagi menyekat penyebaran maklumat yang tidak sahih sehingga boleh mengganggu perjalanan perbicaraan kes kanak-kanak autisme itu.

Semalam, ibu bapa Zayn Rayyan iaitu Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, pada 12 tengah hari, 5 Disember hingga 9.55 malam, 6 Disember lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2024 @ 9:06 PM