Mohamad Abdul Rahman lemas ketika mandi di Pantai Chenang, petang tadi. FOTO ihsan pembaca
Mohamad Abdul Rahman lemas ketika mandi di Pantai Chenang, petang tadi. FOTO ihsan pembaca
Hamzah Osman


Langkawi: Penuntut lelaki warga Bangladesh yang dihanyutkan ombak ketika mandi di Pantai Chenang di sini, meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Langkawi, hari ini.

Mangsa, Mohammad Abdur Rahman Jamal Khan, 20, disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan, kira-kira 5.30 petang.

Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Dr Che Ghazali Che Awang berkata, sebelum itu mangsa tiba di kawasan pantai untuk mandi-manda bersama ahli keluarganya kira-kira 4 petang.

"Mangsa dilaporkan mandi bersama dua lagi saudara lelakinya di pantai hadapan sebuah motel di Pantai Chenang dalam keadaan laut bergelora dan ombak besar.

"Bagaimanapun, kira-kira jam 4.20 petang ketiga-tiganya dihanyutkan ombak ke tengah laut, sebelum dua daripadanya dapat diselamatkan, manakala mangsa didapati hilang," katanya ketika dihubungi di sini.

Menurutnya, mangsa kemudian ditemui tenggelam lalu dibawa ke pantai oleh pengawal pantai sebelum dihantar ke hospital menggunakan ambulans.

"Sejurus tiba, doktor bertugas mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia dan dihantar ke unit forensik untuk bedah siasat. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Ogos 2016 @ 10:16 PM