RAYZAM (kanan) fokus berlatih.
RAYZAM (kanan) fokus berlatih.
Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Pelari 110 meter lari berpagar Rayzam Shah Wan Sofian berpeluang cerah meraih emas di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur andai benar pencabar utama dari Thailand Jamras Rittidet memilih untuk bersara.

Bagaimanapun Rayzam berkata, dia tidak mahu menaruh sebarang harapan kerana belum ada kepastian berhubung perkara itu biarpun Jamras kini bergelut kecederaan belakang selain masalah jurulatih.

Berdasarkan perkembangan dalam laman sosial Jamras, Rayzman berkata pelari itu kini dilihat terbabit dengan bidang kejurulatihan.

“Saya tidak mahu menaruh harapan kerana masih menjadi tanda soal sama ada Jamras akan beraksi di Sukan SEA atau sebaliknya.

“Memang ada khabar angin mengatakan dia sudah bersara dan menjadi jurulatih tapi belum ada pengesahan dari Thailand ataupun MSN (Majlis Sukan Negara) biarpun sudah lama saya tidak melihat perkembangan latihannya.

“Jadi saya tidak mahu menaruh harapan dan apa yang perlu kini adalah meneruskan latihan seperti biasa,” katanya.

Jamras dianggap musuh tradisi Rayzman apabila sentiasa menafikan kemenangan pelari dari Sabah itu selepas kali terakhir merangkul emas di Sukan SEA 2007 Korat.

Pada tiga edisi Sukan SEA lalu Rayzam sekadar meraih perak apabila tewas kepada seteru utamanya itu dan kali terakhir dia tewas kepada atlet Thailand itu di Singapura. Jamras mencipta rekod baru kejohanan 13.69 saat, meninggalkan Rayzam di tempat kedua, 13.97ss.

Catatan masa terbaik Rayzam adalah 13.81s yang dilakarkan pada 2012 di Melbourne dan dia antara atlet yang disasarkan meraih emas di Sukan SEA kali ini.

Justeru peluang berkampung di Afrika Selatan akan digunakan sebaik mungkin Rayzam yang kini berusia 29 tahun untuk memperbaiki mutu lariannya.

Dia turut dimaklumkan jurulatihnya Jan May akan berada di Afrika Selatan dari 23 Mac sehingga 10 April bersama pasukan Jerman dan secara tidak langsung memberi peluang kepadanya untuk berlatih bersama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Februari 2017 @ 7:55 AM