Atlet lari berpagar 110m, Rayzam Shah ketika menjalani latihan di padang MSN Bukit Jalil yang dalam persiapan untuk Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 bermula 19 Ogos ini. FOTO Osman Adnan
Atlet lari berpagar 110m, Rayzam Shah ketika menjalani latihan di padang MSN Bukit Jalil yang dalam persiapan untuk Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 bermula 19 Ogos ini. FOTO Osman Adnan
Aida Adilah Mat


PELARI 110 meter negara, Rayzam Syah Wan Sofian sudah bersedia dari segi mental dan fizikal dan biar siapapun yang bertanding apa yang pasti emas dalam acara 110 meter (m) lari berpagar harus menjadi milik negara pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) ini.

Selepas tiga temasya berturut-turut bermula 2011, 2013 dan 2015 Rayzam sekadar meraih perak, 2017 akan menjadi saksi kebangkitannya membalas dendam kepada musuh utama dari Thailand, Jamras Rittidet.

"Saya tidak kira apa yang berlaku saya hanya mahu emas. Saya tidak kisahlah Jamras bertanding atau tidak, apa yang saya tahu saya mahu emas. 

"Perkara ini sudah saya letakkan dalam fikiran saya sejak dua tahun lalu. Untuk emas saya perlu berlari sekitar 13.6 atau 13.5 saat dan saya sudah buktikan tahun ini.

"Jadi inilah masanya untuk saya merampas kembali emas yang saya menangi 10 tahun lalu," katanya. 

Terdahulu Thailand seperti biasa menyembunyikan sesuatu apabila mengatakan atletnya itu sudah bersara dan jelas ia hanya satu percaturan taktik mereka apabila nama pemenang emas pada empat edisi lalu disenaraikan selepas pendaftaran atlet di tutup Jun lalu.

Setahun mendiamkan diri, Jamras kembali beraksi di Terbuka Thailand dan berjaya melakukan catatan 13.88 s dan terbaru 14.06s ketika di Terbuka Vietnam bulan lalu. 

Rayzam kini berada di landasan yang tepat apabila bergelar pemegang rekod baru kebangsaan dengan catatan 13.67s selepas berjaya meleburkan rekod berusia 23 tahun milik Nurherman Majid di Jerman Mei lalu.    

"Saya memang tidak terkejut Jamras kembali. Memang saya sudah bersedia dan Jamras akan berdepan dengan Rayzam yang baru. 

"Sama ada dia berlari atau tidak dalam fikiran saya memang saya setkan bahawa dia akan berlari jadi bukan satu isu Jamras akan berlari atau tidak," katanya yang kali terakhir bertemu lawannya itu dua tahun lalu di Sukan SEA Singapura.

Rayzam mendapat suntikan semangat apabila jurulatihnya Jan May akan turut bersamanya di Sukan SEA kali ini untuk menyaksikan dia beraksi pada acara yang akan berlangsung 26 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2017 @ 7:02 PM