KHAIRUL HAFIZ JANTAN
KHAIRUL HAFIZ JANTAN
Devinder Singh


SKUAD olahraga negara mempunyai peluang untuk menamatkan kemarau pingat emas yang berlaku sejak lebih sedekad lalu dalam beberapa acara apabila memulakan saingan pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, 22 Ogos ini.

Acara tumpuan pastinya 100 meter (m) dan 200m lelaki yang kali terakhir dimenangi negara menerusi Nazmizan Muhammad di Hanoi pada Sukan SEA 2003.

Jaguh pecut negara, Khairul Hafiz Jantan dilihat berpotensi menyertai senarai pendek pelari negara yang memenangi acara 100m seperti antaranya Tan Sri Dr M. Jegathesan (1965) dan G. Rajalingam (1967).

Ia susulan kejayaan Khairul memecahkan rekod kebangsaan 100m dengan catatan 10.18 saat, tahun lalu sebelum memperbaiki rekod kebangsaan Jegathesan dalam acara 200m yang bertahan sejak 1968 menerusi masa 20.90 saat di Terbuka Malaysia, bulan lalu.

“Di Sukan SEA kali ini, saya fikir Khairul mungkin akan memecahkan rekod 100m kebangsaan sekali lagi,” kata jurulatihnya Poad Kassim.

“Tetapi saya tidak letakkan sebarang sasaran pingat sebaliknya hanya mengharapkan dia memberikan yang terbaik dan jika boleh mencatatkan masa peribadi terbaik.”

Atlit lontar peluru Ziyad Zolkefli pula dalam kedudukan bukan saja berpeluang memenangi emas Sukan SEA sejak Arjan Singh pada 1993 tetapi juga menjadi atlit paralimpik pertama melakukannya.

“Saya harap dapat melakukan yang terbaik,” kata Ziyad yang catatan peribadi terbaiknya, 17.29m memenangi emas di Kejohanan Para Olimpik Dunia, bulan lalu, sekali gus meletakkannya antara pencabar utama di Sukan SEA.

“Kelahiran anak juga memberikan saya tambahan motivasi, jadi tolong doakan kejayaan saya.”

Rayzam Shah Wan Sofian pula berharap dapat menamatkan kemenangan empat kali berturut-turut seteru utamanya, Jamras Rittidet dari Thailand dalam acara 110m berpagar. Rayzam memenangi emas acara ini pada 2007 sebelum dikuasai oleh Jamras.

“Saya tidak fikir sangat mengenai Jamras. Jika dia berlari, saya perlu menewaskannya, sama seperti pelari lain juga,” katanya yang memecahkan rekod kebangsaan milik Nurherman Majid dengan catatan 13.67s, tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 6:36 PM