Reuters

London: Penjaga gol Leicester City, Ron-Robert Zieler (gambar) memberi amaran kepada pasukannya supaya tidak kalah di tangan Sevilla pada aksi pertama, pusingan 16 terakhir jika mahu mengelakkan diri tersingkir awal daripada Liga Juara-Juara.

Leicester mengungguli kumpulan mereka pada pertandingan elit kelab Eropah itu dan hanya dibolosi satu gol dalam lima aksi pertama namun bergelut dalam Liga Perdana apabila mereka menghuni satu anak tangga dan satu mata di atas zon penyingkiran.

Sementara Sevilla di tangga ketiga La Liga, di belakang Real Madrid dan Barcelona, dan turut mempunyai rekod baik di Eropah berbanding Leicester selepas memenangi Liga Europa tiga tahun terakhir berturut-turut.

“Ia satu perlawanan besar,” kata Zieler.

“Kami bertindak baik di peringkat kumpulan. Kami berdepan perlawanan sukar. Kami satu daripada 16 pasukan yang masih meneruskan saingan di Eropah dan Sevilla bertindak hebat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Aksi pertama amat penting. Beginilah, anda tidak boleh kalah. Jika kami boleh seri atau menang, ia pasti bagus untuk aksi kedua.”

Selain hambar dalam Liga Perdana, Leicester tersingkir daripada Piala FA di tangan kelab divisyen tiga Millwall Sabtu lalu dan Zieler berharap beraksi dalam Liga Juara-Juara mampu melupakan seketika pergelutan liga domestik.

“Bagaikan terlalu lama rasanya aksi terakhir Liga Juara-Juara kerana kami ada Piala FA dan banyak aksi Liga Perdana,” jelas pemain berusia 28 tahun itu, yang diikat dari kelab Jerman, Hannover 96 pada Julai tahun lalu.

“Jika kami meraih keputusan bagus, harapnya ia boleh dijadikan pemangkin dalam Liga Perdana. Kami sedar perlu bertindak lebih baik dalam Liga Perdana jadi mungkin ini masa terbaik untuk bermain dalam Liga Juara-Juara.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Februari 2017 @ 7:37 AM