ANTONIO Conte. FOTO AFP
ANTONIO Conte. FOTO AFP
Reuters

London: Tottenham Hotspur perlu membuktikan bahawa mereka berhak beraksi di pertandingan elit Eropah selepas mengalami kekalahan mengejut kepada Sporting Lisbon pada aksi Liga Juara-Juara (UCL), kata pengurus, Antonio Conte.

Spurs, yang beraksi di Liga Konferensi Eropah musim lalu, tewas 0-2 kepada kelab dari Portugal itu.

"Kami kecewa kerana keputusan akhir adalah negatif. Saya menyaksikan semula perlawanan itu dan saya fikir kami banyak mensia-siakan peluang.

"Ini bermakna kami perlu berusaha lagi kerana kami beraksi di Liga Juara-Juara.

"Kami sudah melakukan perkara yang penting iaitu layak beraksi di saingan ini dan sekarang kami perlu membuktikan sememangnya berhak beraksi di sini," kata Conte kepada pemberita menjelang pertembungan Liga Perdana di laman sendiri menentang Leicester City awal pagi Ahad.

Apabila ditanya sama ada dia akan merehatkan penyerang yang sedang bergelut, Son Heung-min untuk aksi menentang Leicester, Conte berkata tiada pemain yang 'tidak boleh digugurkan'.

Heung-min yang menjadi watak penting Spurs sejak beberapa tahun kebelakangan ini, masih belum menjaringkan gol dalam mana-mana pertandingan musim ini.

"Tiada pemain yang tidak boleh digugurkan. Perkara ini perlu dijelaskan. Bermakna setiap pemain perlu mempamer prestasi terbaik untuk diturunkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 September 2022 @ 8:52 AM