Vigo, Sepanyo: Jerman mencatat kemenangan 1-0 ke atas Sepanyol hasil jaringan lewat permainan oleh Toni Kroos pada perlawanan persahabatan membabitkan dua juara dunia itu awal pagi semalam.

Jaringan itu hadir pada minit ke-90 selepas penjaga gol gantian Sepanyol, Kiko Casilla melakukan kesilapan besar yang tidak disia-siakan Kroos.

Penjaga gol Real Madrid, Iker Casillas berada dalam kesebelasan utama sekali gus membuat penampilan ke-160 bersama skuad Sepanyol, tetapi dia dikeluarkan 20 minit sebelum tamat perlawanan untuk memberi laluan kepada Casilla.

“Inilah keputusan yang kami mahukan. Kemenangan ini menjadi pelengkap kepada tahun penuh gemilang,” kata Kroos selepas tamat perlawanan.

Peluang terbaik Sepanyol hadir 10 minit lebih awal, tetapi cubaan Pedro berjaya dinafikan penjaga gol Jerman, Ron-Robert Zieler.

Kedua-dua pasukan gergasi itu beraksi hambar pada kempen kelayakan Euro 2016.

Jurulatih Sepanyol Vicente del Bosque tetap meyakini kemampuan anak buahnya meskipun tewas.

“Kami melakukan banyak pertukaran seperti pihak lawan. Apapun ia perlawanan yang sengit.

“Kami dalam proses peralihan dan tetap optimis dengan masa depan pasukan ini,” kata Del Bosque.

Jurulatih Jerman Joachim Loew pula berharap dapat menyaksikan kedua-dua pasukan bertemu lagi dalam tempoh terdekat.

“Ia perlawanan yang sukar, tetapi saya rasa kami berjaya menguasai permainan,” katanya.

Hanya empat pemain Jerman yang beraksi di final Piala Dunia, Benedikt Hoewedes, Kroos, Thomas Mueller dan Mario Goetze diturunkan pada perlawanan itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 November 2014 @ 5:07 AM