JOHOR BAHRU 19 FEBRUARY 2017. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Asiah Md Ariff (kanan) bersama Fatimah Nasir membaca akhbar kisah anaknya Mohammad Azrie Zulkefli  di Taman Sinaran Kempas, Johor Bahru. NSTP/ZULKARNAIN AHMAD TAJUDDIN
JOHOR BAHRU 19 FEBRUARY 2017. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Asiah Md Ariff (kanan) bersama Fatimah Nasir membaca akhbar kisah anaknya Mohammad Azrie Zulkefli di Taman Sinaran Kempas, Johor Bahru. NSTP/ZULKARNAIN AHMAD TAJUDDIN
BERNAMA

Johor Bahru: “Cukup-cukuplah. Saya amat berharap masyarakat hentikan tular yang menyalahkan ibu bapa dan mangsa," kata Fatimah Nasir, ibu seorang daripada mangsa kemalangan basikal di Jalan Lingkaran Dalam, di sini, semalam.

Fatimah berkata semua ibu bapa sentiasa sayang dan mengambil berat tentang anak mereka sekali gus tidak mengabaikan anak seperti didakwa masyarakat.

"Mereka (masyarakat) tidak rasa apa yang kami rasa, saya tidak ada kuasa untuk menyekat tular, namun saya mohon agar ia segera dihentikan," katanya kepada pemberita apabila ditanya mengenai tular di laman sosial yang menyalahkan ibu bapa dan mangsa terhadap kejadian yang mengorbankan lapan nyawa itu.

Terdahulu, Fatimah, 43, menerima lawatan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Asiah Md Ariff yang turut memberikan sumbangan kepada keluarganya di Taman Sinaran Kempas, di sini hari ini.

Menurutnya, arwah anaknya Mohammad Azrie Danish Zulkefli, 14, anak yang baik dan ringan tulang membantunya membuat kuih selain menjaga adik-adiknya.

“Saya tidak sangka soalan arwah (Mohammad Azrie Danish) tentang prosedur bedah siasat mangsa kemalangan perbualan terakhir kami. Saya menerangkan kepadanya mengenai prosedur bedah siasat bagi mangsa kemalangan jalan raya," katanya sebak.

Ibu lima anak yang bekerja di sebuah syarikat swasta itu berkata, sebelum keluar rumah pada 9 malam, anak kedua daripada lima beradik itu meminta izin darinya untuk berjumpa rakan di kelab basikalnya, kira-kira 100 meter dari rumah mereka.

“Sebelum keluar, dia ada beritahu malam ini ‘final lap' mereka. Saya tidak faham apa yang sebenarnya dimaksudkannya,” katanya.

Sementara itu, bapa Mohammad Azrie Danish, Zulkefli Sarkam, turut meminta orang ramai mendoakan semua mangsa insiden itu, bukannya menuding jari kepada mana-mana pihak.

Zulkefli, 43, berkata mereka sekeluarga hanya mengetahui kejadian menimpa anaknya kira-kira 6 pagi semalam, dan bergegas ke balai polis bagi membuat laporan.

Dalam kejadian 3 pagi semalam, lapan remaja lelaki berbasikal maut apabila dirempuh kereta dipandu seorang wanita berusia 22 tahun.

Lapan yang lain turut cedera dengan dua daripadanya berada di Unit Rawatan Rapi, Hospital Sultanah Aminah, di sini, manakala enam yang lain dirawat di wad

hospital sama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2017 @ 7:14 PM