KE Ting bercakap kepada pemberita selepas dibebaskan dari kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian di Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini. FOTO Bernama
KE Ting bercakap kepada pemberita selepas dibebaskan dari kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian di Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini. FOTO Bernama
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Ibu bapa mangsa tragedi basikal lajak akur dengan keputusan Mahkamah Rayuan, hari ini, yang membebaskan dan melepaskan Sam Ke Ting daripada tuduhan memandu secara melulu pada 2017.

Mengakui kecewa, Fatimah Nasir, 49, berkata, keluarganya terpaksa reda dengan keputusan mahkamah itu walaupun mereka dihantui tragedi itu selama-lamanya.

Katanya, biarpun sudah enam tahun anaknya, Mohamad Azrie Danish Zulkefli yang ketika itu berusia 14 tahun meninggal dunia, namun hati seorang ibu masih tetap terkenangkan anaknya itu.

"Saya dan keluarga mangsa yang lain memang sudah jangka Ke Ting akan dibebaskan apabila ia dibawa ke Mahkamah Rayuan.

"Tak boleh nak cakap apa dah sebenarnya, memang kecewa namun kami perlu akur, reda dan meneruskan kehidupan.

"Apa pun yang berlaku dan disalahkan adalah ibu bapa mangsa. Kami dikatakan tidak pandai jaga anak dan tak tahu tanggungjawab kerana biarkan anak bermain basikal sampai awal pagi, padahal kalau kami tahu sudah tentu kami tidak benarkan.

"Memang terkilan dan sedih apabila dicerca orang ramai. Mana ada ibu bapa yang tidak sayang dan biarkan anak. Ini ujian kami dan biarlah kami tanggung," katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Azman Abdullah, membuat keputusan secara sebulat suara sekali gus mengetepikan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Tinggi terhadap Ke Ting, 33, tahun lalu.

Ke Ting mengaku dan akur bahawa beliau yang memandu kereta dan menyebabkan kematian pada anak-anak yang disayangi keluarga.

"Namun demikian, kemalangan itu bukan disengajakan oleh saya. Saya merasa sangat simpati bagi nasib dan penderitaan keluarga atas pemergian arwah," katanya.

Dalam tragedi berdarah yang berlaku di Jalan Lingkaran Dalam, di sini, pada 3.20 pagi 18 Februari 2017, lapan remaja menaiki basikal lajak terkorban dengan empat parah manakala empat lagi turut tercedera dirempuh kereta dipandu Ke Ting.

Remaja yang maut ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.

Dalam pada itu, bapa Azrie Danish, Zulkifli Sarkam, 49, turut kecewa dengan keputusan itu namun reda atas apa yang berlaku.

"Biarlah tragedi ini berlalu. Kami reda. Keluarga mangsa alami kesedihan dan trauma berpanjangan setiap kali kes ini dibawa ke mahkamah.

"Saya yakin Ke Ting juga ada perasaan sesal dan turut dihantui tragedi itu seumur hidup. Biarlah kami dan Ke Ting rawat emosi kami dan teruskan hidup," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2023 @ 3:08 PM