Asiah (kanan) bersama ibu kepada Allahyarham Mohammad Azrie Zulkefli, Fatimah Nasir membaca akhbar mengenai kejadian yang menimpa anaknya di Taman Sinaran Kempas. FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin
Asiah (kanan) bersama ibu kepada Allahyarham Mohammad Azrie Zulkefli, Fatimah Nasir membaca akhbar mengenai kejadian yang menimpa anaknya di Taman Sinaran Kempas. FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin
Mohd Sabran Md Sani


Johor Bahru: Isu aktiviti berbasikal dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di negeri ini termasuk kesesuaian tempat untuk golongan itu akan dibawa ke peringkat mesyuarat kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Asiah Md Ariff berkata, perkara itu perlu diberi keutamaan kerana ada kemungkinan ia terlepas pandang.

"Tanggungjawab di bawah portfolio Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) merangkumi semua golongan kecil, besar, tua, muda dan semuanya di bawah kita.

"Justeru perlu ada kerjasama dengan jabatan serta agensi lain untuk melihat aktiviti itu, berdasarkan kesesuaian tempat dan masa," katanya ketika melawat dua keluarga mangsa kemalangan maut iaitu Allahyarham Muhammad Shahrul Nizam Maruddin, 14, di Taman Desa Mutiara dan Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14, di Taman Sinaran Kempas.

Asiah turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada waris mangsa selain melawat mangsa cedera di Hospital Sultanah Aminah (HSA) esok.

Katanya, cadangan membawa isu berkenaan ialah supaya ia tidak terlepas pandang selain mengharapkan bantuan masyarakat memaklumkan kepada jabatan berkaitan perkara sedemikian.

"Saya boleh bawa perkara ini ke peringkat kerajaan negeri iaitu bagaimana mengatasi masalah ini.

"Mungkin pendekatan seperti melihat kesesuaian tempat boleh difikirkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2017 @ 2:11 PM