GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Seremban: Cubaan penjenayah melarikan barangan berharga terbantut selepas terperangkap di dapur sebuah rumah yang dipecah masuk di Kampung Datuk Mansor di Seremban, hari ini.

Dalam kejadian 4.30 pagi itu, penjenayah berkenaan dikatakan gagal keluar sebelum cuba bersembunyi untuk elak disedari pemilik.

Bagaimanapun, pemilik yang menyedari kediamannya itu dipecah masuk kemudiannya segera menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan segera.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, sepasukan anggota unit kereta peronda (MPV) yang dikerahkan ke lokasi mendapati suspek berusia 33 tahun masih bersembunyi di bahagian dapur rumah berkenaan.

“Anggota polis menyerbu masuk dan berjaya menahan lelaki itu. Polis turut merampas patung tembaga milik mangsa yang cuba dilarikan suspek dianggarkan bernilai RM300.

“Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban. Hasil saringan awal yang dijalankan ke atas suspek mendapati positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hock Poh berkata, suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga Rabu ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Februari 2019 @ 1:38 PM