FOTO yang viral di FB
FOTO yang viral di FB
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


Seremban: Dua pengedar dadah yang cuba melarikan diri dengan merempuh kereta peronda polis berjaya ditahan di Jalan Seremban-Kuala Pilah, berhampiran susur Bukit Putus, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, pada awalnya anggota polis yang melakukan rondaan melihat sebuah kereta Proton Iswara dinaiki dua lelaki berusia 30-an dalam keadaan mencurigakan di Taman Bandar Senawang, di sini, 10.30 malam tadi.

"Suspek menyedari diekori polis memecut laju dan cuba merempuh kereta peronda yang mengepung mereka. Tindakan suspek itu mengundang bahaya menyebabkan anggota terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar belakang kereta suspek.

"Namun, suspek terus memecut laju melalui Jalan Seremban-Kuala Pilah. Kereta suspek kemudian berjaya dikepung dan mereka ditahan berhampiran susur Bukit Putus," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Thiew berkata, pemeriksaan pada kereta menemui beg berisi sembilan peket lutsinar dan tiga tiub straw disyaki dadah jenis heroin anggaran berat 15.52 gram serta beberapa peralatan menghisap dan membungkus dadah.

Beliau berkata, kedua-dua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2016 @ 6:01 PM