Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


DUA lelaki tempatan yang memeras ugut seorang peruncit warga asing dicekup polis di Rantau, di Seremban, hari ini.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, pada kejadian 11 pagi mangsa berusia 62 tahun didatangi suspek pertama berusia 20-an dan memintanya RM1,000 namun dihalau.

Katanya, suspek keluar dari kedai menuju ke arah kereta Toyota Camry dinaikinya lalu mengambil sebilah parang dan mengacukan pada mangsa.

"Peruncit terbabit tidak mempedulikan desakan suspek sebelum keluar lelaki kedua dari kenderaan dan memasuki premis mangsa. Dia mengambil sekotak mancis dan tiga pemetik api bernilai RM5 lalu masuk dalam kenderaan itu," katanya.

Thiew berkata, kejadian disaksikan orang awam menyebabkan mereka menghubungi pihak polis sebelum sepasukan anggota datang ke lokasi.

"Sedar kehadiran polis, seorang daripada suspek memecut laju kenderaan manakala rakannya berjaya dicekup. Dengan bantuan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB), suspek dikejar sehingga ke Jalan Rantau-Seremban berdekatan Rumah Rakyat Ulu Lalang," katanya.

Menurut Thiew, suspek dicekup selepas kereta dipandunya melanggar sebuah kereta jenis Kembara dipandu seorang lelaki berusia 56 tahun. Lelaki itu bagaimanapun tidak cedera namun dua kenderaan itu rosak akibat pelanggaran," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan pada kereta suspek menemui sejumlah dadah dan ujian air kencing ke atas dua lelaki itu mendapati mereka positif dadah.

"Selain itu pihak polis turut menemui dua bilah parang, tiga beg, lima telefon bimbit, mancis dan pemetik api dalam kenderaan. Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Seremban, di sini esok untuk permohonan reman," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan bersenjata, Seksyen 39A (1) dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mei 2018 @ 11:37 PM