Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


Seremban: Polis menumpaskan kumpulan samun yang turut dianggotai remaja tidak bersekolah dengan tertangkapnya tujuh individu di Senawang, di sini, pada 6 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, tangkapan dibuat di dua lokasi berbeza di Senawang antara 5 hingga 7.30 pagi menerusi Ops 7 Eleven.

Katanya, enam daripada tujuh suspek remaja tidak bersekolah serta penganggur berusia 15 hingga 29 tahun.

"Tangkapan dibuat sebaik polis menerima laporan jenayah dilakukan kumpulan itu. Hasil pemburuan berterusan, kita (polis) berjaya mencekup semua mereka," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, pihaknya merampas pelbagai hasil samun, pakaian, topi keledar, beg silang serta kenderaan.

"Modus operandi kumpulan ini adalah memasuki premis beramai-ramai sebelum mengacukan parang terhadap penjaga kaunter. Mereka melarikan rokok, makanan, minuman keras serta wang tunai," katanya.

Hock Poh berkata, empat daripada tujuh suspek akan didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, esok selain pihaknya memburu seorang suspek yang masih bebas, Azrul Izuan Shah Jafri, 29.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 January 2017 @ 5:01 PM