MAKIO Miyagawa (dua kanan) ketika Majlis Pelancaran Pameran Shinkansen. FOTO Ridhatul Rizki
MAKIO Miyagawa (dua kanan) ketika Majlis Pelancaran Pameran Shinkansen. FOTO Ridhatul Rizki
Ridhatul Rizki


Kuala Lumpur: Jika Shinkansen dipilih bagi Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) di Malaysia, Jepun bersetuju untuk melatih rakyat tempatan dan Singapura bagi menerajui projek ini.

Duta Jepun ke Malaysia, Dr Makio Miyagawa berkata, mereka ingin menawarkan teknologi dan perkhidmatan yang terbaik buat pengguna HSR Kuala Lumpur-Singapura.

“Selain menawarkan kereta api berteknologi tinggi, secara tak langsung kami juga menawarkan pembangunan sumber manusia dan peluang pekerjaan buat rakyat Malaysia dan Singapura.

“Hanya rakyat tempatan yang akan menerajui projek ini dan kami teruja untuk menyediakan latihan kepakaran kepada mereka,” katanya.

Menurut Miyagawa, Shinkansen iaitu kereta api berkelajuan tinggi di Jepun mempunyai reputasi yang baik dengan teknologi terkini.

“Selama lebih 50 tahun beroperasi di Jepun, tidak pernah berlaku kemalangan maut yang membabitkan pengguna Shinkansen.

“Kami teruja untuk menawarkan rakyat Malaysia dan Singapura sistem pengangkutan yang paling selamat dan maju menerusi Projek Shinkansen,” katanya.

Pada Julai tahun lalu, Malaysia dan Singapura menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi melaksanakan projek ini yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura.

Selain Jepun, negara lain seperti China, Korea Selatan dan beberapa syarikat Eropah turut berminat mengendalikan projek HSR yang dianggarkan bernilai RM60 bilion hingga RM65 bilion.

Sementara itu, satu pameran berkaitan kereta api Shinkansen diadakan bagi menyebarkan maklumat kepada msyarakat mengenai kereta api berteknologi tinggi ini.

Menerusi pameran ini, pengunjung boleh melihat dengan lebih dekat rekabentuk, teknologi dan sejarah Shinkansen

Pameran ini diadakan di pusat membeli-belah Lot 10 di sini bermula 17 Februari hingga 9 Mac ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2017 @ 12:40 AM