NAJIB (kiri) disambut pegawai Malaysia selepas tiba di Hote Imperial Tokyo. FOTO Bernama
NAJIB (kiri) disambut pegawai Malaysia selepas tiba di Hote Imperial Tokyo. FOTO Bernama
Abdul Jalil Hamid


Tokyo: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba di sini, hari ini bagi lawatan kerja tiga hari untuk meningkatkan lagi hubungan ekonomi.

Beliau dijadual bertemu Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, esok di mana kedua-dua pemimpin akan berunding pelbagai isu termasuk pembangunan infrastruktur landasan kereta api, isu Laut China Selatan dan kesan pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) terhadap Asia serta Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Lawatan Najib atas jemputan Abe berlangsung sebelum kedua-dua pemimpin meneruskan kehadiran mereka ke Sidang Kemuncak APEC di Peru, hujung minggu ini.

Abe terlebih dahulu akan ke New York di mana beliau akan bertemu Presiden AS yang baru dipilih, Donald Trump.

Antara agenda utama Abe dengan Najib termasuk projek infrastruktur terbesar Malaysia, Projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang dijangka bernilai antara RM60 bilion hingga RM65 bilion.

Abe amat berminat untuk mempromosikan sistem kereta api laju Shinkansen yang sudah dieksport ke Taiwan manakala India dalam masa terdekat.

Dalam temubual bertulis dengan akhbar Asahi Shimbun menjelang lawatan ke Jepun, Najib berkata, kereta api laju Shinkansen mempunyai "reputasi antarabangsa yang kukuh."

"Ketika kami dalam melaksanakan perkhidmatan kereta api laju antara Kuala Lumpur dan Singapura, saya pasti Shinkansen akan menjadi antara pesaing utama dalam tawaran tender awam untuk projek ini," katanya.

Ketika lawatan ini, kedua-dua pemimpin itu akan menyaksikan perjanjian berkaitan dua kapal peronda terpakai Pengawal Pantai Jepun yang bakal diserahkan kepada Malaysia.

Dua kapal itu akan diserahkan untuk kegunaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Ahmad Izlan Idris berkata, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) juga dijadual memeterai perjanjian berasingan dengan Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (JETRO) bagi mengukuhkan kerja sama.

Najib diiringi isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan and Datuk Seri Shahidan Kassim.

Najib juga akan menerima kunjungan hormat Menteri Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan Jepun, Keiichi Ishii, Rabu ini.

Beliau juga akan bertemu Ketua Pegawai Eksekutif JETRO, Hiroyuki Ishige dan anggota Persatuan Persahabatan Anggota Parlimen Jepun-Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2016 @ 8:20 AM