Najib   dan  Rosmah  menaiki kereta api laju  dari Tokyo ke Sendai untuk menghadiri perjumpaan dengan pelajar di sebuah universiti di sana.
Najib dan Rosmah menaiki kereta api laju dari Tokyo ke Sendai untuk menghadiri perjumpaan dengan pelajar di sebuah universiti di sana.

Tokyo: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak merasai sendiri pengalaman menaiki Shinkansen, kereta api laju terkemuka Jepun yang memecut dengan kelajuan 320 kilometer sejam.

Diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, Najib menaiki kereta api Hayabusa 15 Shinkansen itu pada jam 10.40 pagi (9.40 waktu Malaysia) untuk ke bandar raya Sendai kira-kira 325km dari sini.

Perjalanan itu mengambil masa 96 minit berbanding lebih empat jam melalui jalan raya.

Turut serta ialah Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa dan Duta Malaysia di Jepun Datuk Ahmad Izlan Idris.

Terdahulu, Najib dan delegasi Malaysia diberikan taklimat mengenai perkhidmatan kereta api Shinkansen dan pembangunan di sekitar Stesen Tokyo oleh pegawai syarikat kereta api East Japan Railway Company yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Tetsuro Tomita.

Tetsuro memberitahu perdana menteri bahawa kereta api yang dinaikinya ke Sendai menggunakan teknologi terkini.

“Ini adalah kereta api terbaru dengan teknologi terkini, dengan kelajuan 320km sejam...ini adalah kelajuan biasa operasi dan selamat,” katanya.

Kelmarin, Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe berkata, negara ini mahu melihat teknologi Shinkansen digunakan dalam perancangan projek kereta api berkelajuan tinggi antara Kuala Lumpur dan Singapura.

“Saya berharap dapat melihat Shinkansen merentasi landasan di bumi Malaysia,” katanya pada sidang akhbar bersama Najib selepas mesyuarat dua hala mereka di Pejabat Perdana Menteri Jepun itu.

Dalam jawapan balasnya, Najib berkata, beliau percaya Jepun akan mengemukakan tawaran yang amat kompetitif bila tiba masanya nanti.

Diperkenalkan pada 1964, perkhidmatan Shinkansen kini meliputi 2,400 kilometer dan merentasi keseluruhan Jepun. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2015 @ 9:36 AM