KERETA Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Shinkansen. FOTO arkib NSTP
KERETA Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Shinkansen. FOTO arkib NSTP
Nadia Hamid dan Veena Babulal


KERAJAAN memutuskan untuk menangguhkan projek Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) bukannya membatalkan projek pengangkutan berimpak tinggi itu.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan tidak menafikan keperluan projek pengangkutan awam berkenaan pada masa akan datang namun terpaksa menangguhkan komitmen pembinaan HSR susulan ketidakmampuan ekonomi negara.

Katanya, kos keseluruhan pembinaan HSR untuk laluan sepanjang 350 kilometer (km) dijangka menelan belanja RM110 bilion dan jumlah itu terlalu tinggi kerana kerajaan sedang berusaha mengurangkan negara hutang, RM1 trilion.

"(Hakikatnya) Malaysia memerlukan pengangkutan Rel Berkelajuan Tinggi untuk laluan Semenanjung pada masa akan datang, tetapi kita tidak mampu buat masa ini.

"(Jadi) Kerajaan hanya menangguhkan pembinaan projek HSR," katanya ketika soal jawab khas bersama syarikat penerbitan terbesar di Jepun, Nikkei Asian Review, semalam.

Dalam temubual sama, Dr Mahathir berkata, cadangan untuk meneruskan projek HSR laluan Iskandar Puteri, Johor ke Singapura juga tidak memberikan manfaat pada jangka masa panjang.

"Kereta api berkelajuan tinggi adalah pengangkutan paling efektif jika sekiranya dibina dalam jarak laluan panjang.

"(Tetapi) Kalau HSR dibina pada jarak dekat, ia tidak menyumbangkan banyak perkembangan kepada ekonomi negara.

"Apa yang boleh kita lakukan adalah menangguhkan projek HSR kerana terlalu kosnya terlalu mahal buat masa ini.

"(Jadi) Kita bukannya berkata Malaysia tidak akan mempunyai keretapi berkelajuan tinggi tetapi hanya tangguhkan projek ini," katanya.

Pada 28 Mei lalu, Dr Mahathir mengumumkan pembatalan projek HSR dan berkemungkinan perlu membayar pampasan sehingga RM500 juta kepada Singapura.

Bulan lalu, Kementerian Pengangkutan Singapura mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya belum menerima makluman rasmi dari Putrajaya berhubung keputusan membatalkan projek yang dijangka memendekkan masa perjalanan KL-Singapura dalam tempoh 90 minit sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Jun 2018 @ 1:37 PM