Hadzlihady Hassan

BERANG kerana teman wanitanya ditahan, seorang lelaki naik angin dan membaling botol air sambil mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota imigresen yang melakukan Op Ikrar di luar sebuah pusat hiburan di Jalan Transfer, di Georgetown, awal pagi hari ini.

Tindakannya itu mengundang padah apabila dia turut dicekup serta diangkut menaiki lori sebelum dibawa ke Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia Pulau Pinang (JIMPP) Seberang Jaya.

Dalam operasi jam 1 pagi itu, seramai 16 wanita yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) ditahan.

Mereka yang leka melayan pelanggan bertempiaran melarikan diri selepas menyedari kehadiran anggota imigresen dan ada juga yang cuba bersembunyi sebalik tangga.

Ketua Bahagian Penguatkuasa Imigresen Pulau Pinang, Khwaja Banthey Navaz Mohd Hanief berkata, seramai 16 wanita warganegara Vietnam dan Nigeria serta dua lelaki masing-masing dari Myanmar dan Thailand ditahan dalam operasi terbabit.

“Seorang lelaki yang bekerja di premis itu turut ditahan kerana mencetuskan kekecohan dengan membaling botol air ke arah pegawai imigresen.

“Dia dikatakan tidak berpuas hati kerana teman wanitanya ditahan dalam operasi berkenaan,” katanya.

Semua mereka dibawa ke Ibu Pejabat JIMPP di Seberang Jaya untuk proses dokumentasi sebelum dihantar ke Depoh Tahanan Warga Asing di Juru.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Mac 2018 @ 2:02 PM
Antara GRO yang dicekup ketika asyik melayan pelanggan dalam serbuan oleh JIMPP di sebuah hotel, Jalan Transfer, Georgetown. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
Antara GRO yang dicekup ketika asyik melayan pelanggan dalam serbuan oleh JIMPP di sebuah hotel, Jalan Transfer, Georgetown. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal