FOTO Arkib NSTP
FOTO Arkib NSTP
Nursyahirah Marzuki


Dengkil: Kira-kira 800 penunggang motosikal menyerbu stesen minyak Petronas Dengkil bagi mengisi petrol secara percuma hasil keprihatinan Pemuda UMNO Cawangan Sepang bermula jam 7 pagi tadi.

Ketua Pemuda UMNO Sepang, Noor Azli Said, 38, berkata, program bermula jam 7 pagi itu berakhir dua jam kemudian dengan 800 motosikal menerima sumbangan petrol percuma.

Beliau berkata, pihaknya menyediakan peruntukan sebanyak RM5,000 bagi menampung tajaan petrol percuma itu.

"Program khidmat bakti itu adalah salah satu usaha kami untuk membantu masyarakat sekitar kawasan berkenaan dalam menghadapi kenaikan kos sara hidup ketika ini.

"Alhamdulillah, program ini mendapat sambutan daripada penduduk sekitar kawasan Dengkil malah ada yang sudah menunggu sejak 6.45 pagi lagi untuk mengisi minyak sebelum memulakan perjalanan mereka ke tempat kerja masing-masing," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Katanya, program ini bukan sahaja dapat membantu meringankan beban masyarakat malah ia dilihat sebagai salah satu kelainan untuk mendekati masyarakat sekitar kawasan ini.

Noor Azli berkata, pihaknya akan memperluaskan program itu di dua lagi kawasan iaitu Sungai Pelek dan Tanjung Sepat masing-masing pada hujung bulan ini serta awal tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Disember 2016 @ 11:51 AM