Bank Rakyat
Bank Rakyat
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Bank Rakyat kembali menawarkan Pembiayaan Peribadi-i DivA khusus untuk anggota serta Akaun Pelaburan-i Rizq Plus untuk anggota sebagai tanda penghargaan di samping memberikan nilai tambah baharu kepada anggotanya.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, inisiatif ini adalah bagi memastikan anggota Bank Rakyat dapat menikmati pelbagai manfaat menerusi penyediaan kemudahan produk dan perkhidmatan yang direka dan dibangunkan khusus untuk anggota, selain manfaat pembayaran dividen serta kadar keuntungan yang lebih rendah.

"Saya juga amat berbesar hati kerana dapat menyaksikan penawaran semula Pembiayaan Peribadi-i DivA serta Akaun Pelaburan-i Rizq Plus khusus untuk anggota," katanya kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Bank Rakyat 2023 yang menghimpunkan 902 perwakilan individu dan koperasi di seluruh negara.

Hadir sama, Pemangku Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak.

Ewon berkata, pihaknya menyeru orang ramai menjadikan Bank Rakyat sebagai pilihan perbankan mereka dan diharap produk Pembiayaan Peribadi-i DivA ini dapat dimanfaatkan oleh 812,757 anggota sedia ada.

Sementara itu, Mohd Irwan berkata, pelancaran inisiatif terbaharu ini langkah proaktif Bank Rakyat dalam menawarkan perkhidmatan kewangan yang komprehensif bagi menghargai kesetiaan dan keyakinan anggota terhadap Bank Rakyat.

"Besarlah harapan kami supaya anggota memberi sokongan dengan melanggan kesemua produk Bank bagi membolehkan kita mencatatkan keuntungan yang lebih memberangsangkan tahun ini.

"Pembiayaan ini dapat membantu anggota mengurangkan beban aliran tunai mereka dan mampu membuat simpanan serta mempunyai lebihan tunai untuk tujuan pelaburan dan sebagainya," katanya.

Pembiayaan Peribadi-i DivA yang bakal ditawarkan nanti menawarkan kadar keuntungan tetap serendah 2.99 peratus dengan jumlah maksimum pembiayaan sehingga RM400,000.00 dengan tempoh pembiayaan sehingga 10 tahun.

Tawaran ini juga membolehkan anggota untuk menikmati ansuran bulanan yang lebih rendah yang mana dividen tahunan dijadikan sebagai ansuran pembiayaan.

Menerusi Akaun Pelaburan-i Rizq Plus pula, Bank Rakyat menawarkan cabutan khas berjumlah RM69,000 untuk dimenangi oleh 69 orang pemenang sempena ulang tahun Bank Rakyat ke-69 tahun ini dan kempen berlangsung mulai hari ini (10 Jun) sehingga 31 Disember 2023.

Selain berpeluang memenangi cabutan hadiah kempen anggota turut berpeluang menyertai cabutan Akaun Pelaburan-i Rizq Plus bersama pelanggan lain yang dilaksanakan setiap bulan dengan tawaran hadiah keseluruhan berjumlah RM1 juta dan cabutan istimewa hadiah setengah tahun berjumlah RM100,000.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Jun 2023 @ 1:13 PM