BANK Rakyat menawarkan pembiayaan RM50 juta untuk usahawan wanita.
BANK Rakyat menawarkan pembiayaan RM50 juta untuk usahawan wanita.
Oleh Yusmizal Dolah Aling


BANK Rakyat menawarkan pembiayaan khas sehingga RM300,000 untuk membantu usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan koperasi serta RM50,000 untuk pembiayaan mikro bagi tempoh 69 bulan dengan penangguhan bayaran pembiayaan selama sembilan bulan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, selain itu bank berkenaan menawarkan pembiayaan keseluruhan berjumlah RM50 juta untuk usahawan wanita melalui pakej Biz Lady.

Katanya, program khas itu bertujuan membantu usahawan wanita mengurangkan masalah aliran wang tunai jangka pendek dan mengekalkan kelangsungan perniagaan.

"Kempen ini diharap dapat membantu usahawan dan koperasi mengekalkan kesinambungan perniagaan masing-masing dan dapat melonjakkan semula ekonomi negara sepanjang tempoh yang mencabar ketika Covid-19," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, Bank Rakyat turut menawarkan kempen 'Kami Bersama Anda' yang bermula sejak 24 April sehingga 30 Jun 2020 dengan tawaran Pembiayaan Peribadi-i dengan jumlah pembiayaan sehingga RM200,000 dengan kadar keuntungan serendah 2.78 peratus setahun bagi tempoh pembiayaan sehingga 10 tahun.

Wan Junaidi berkata, sekiranya pelanggan mempunyai barang kemas dan memerlukan wang tunai segera, Bank Rakyat turut menawarkan Pajak Gadai-i Ar-Rahnu dengan jumlah pembiayaan sehingga RM350,000, margin pembiayaan sehingga 80 peratus bagi tempoh pembiayaan sehingga 18 bulan.

"Sekiranya pelanggan mahu membeli barang keperluan harian dan menyediakan persiapan untuk musim raya yang akan datang, gunalah Kad Kredit-i atau Kad Debit-i Bank Rakyat dan berpeluang memenangi hadiah terkumpul pulangan tunai sehingga RM30,000 melalui transaksi dalam talian.

"Malah, sekiranya orang ramai berhasrat menyalurkan duit ke ibu bapa di kampung, anda boleh menggunakan aplikasi DuitNow di iRakyat dan berpeluang memenangi hadiah terkumpul sehingga RM24,000," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2020 @ 7:15 AM