SEORANG penunggang cuba meredah laluan motosikal  yang dipenuhi air berdekatan Kelab Golf Negara Subang di Kelana Jaya  selepas hujan lebat selama hampir sejam. FOTO Osman Adnan
SEORANG penunggang cuba meredah laluan motosikal yang dipenuhi air berdekatan Kelab Golf Negara Subang di Kelana Jaya selepas hujan lebat selama hampir sejam. FOTO Osman Adnan

Kuala Lumpur: Aliran trafik di beberapa jalan utama di ibu negara sesak teruk berikutan hujan lebat dan banjir kilat menyebabkan beberapa jalan raya dinaiki air, petang tadi.

Difahamkan, banjir kilat dilaporkan berhampiran menara jam susur keluar ke Jalan Subang yang menyebabkan kesesakan di Lebuhraya Persekutuan.

Banjir kilat turut menyebabkan jalan ke Lapangan Terbang Subang ke Glenmarie selain Bangsar ke PJS2 di Lebuhraya Pantai Baru (NPE) mengalami kesesakan susulan jalan berhampiran Taman Maju Jaya dinaiki air.

Jurucakap Sistem Maklumat Pengangkutan Bersepadu (ITIS) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, beberapa jalan utama terpaksa ditutup kerana berbahaya kepada pengguna jalan raya bermula jam 6.30 petang tadi .

"Semua laluan terhalang dan laluan kontra terpaksa dibuka berhampiran Plaza Tol PJS bagi melancarkan aliran trafik yang semakin sesak," katanya.

Malah menurutnya, beberapa kereta turut ditenggelami banjir kilat itu.

"Hujan lebat dilaporkan berhenti kira-kira sejam kemudian sebelum banjir surut dan aliran trafik kembali lancar," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Oktober 2014 @ 11:20 PM