LALUAN hadapan deretan kedai dinaiki air selepas banjir kilat di Jalan Pantai Baru, Bangsar. FOTO Sairien Nafis
LALUAN hadapan deretan kedai dinaiki air selepas banjir kilat di Jalan Pantai Baru, Bangsar. FOTO Sairien Nafis
Nurul Hidayah Bahaudin


BEBERAPA lokasi di sekitar pusat bandar raya ditenggelami banjir kilat akibat hujan lebat berterusan hampir sejam mulai 3 petang, hari ini.

Antara lokasi yang terjejas adalah sekitar Lebuhraya Baru Pantai (NPE) dan Jalan Bangsar, Kuala Lumpur.

Banjir kilat menyebabkan lalu lintas di kawasan berkenaan sesak, selain beberapa premis turut dimasuki air.

Namun, tinjauan di lokasi kejadian mendapati air mula surut kira-kira 5 petang.

Peniaga yang mahu dikenali sebagai Mohamad, 30, berkata, mereka sudah lali dengan banjir kilat yang sering melanda kawasan itu setiap kali hujan lebat.

“Setiap kali hujan lebat, air pasti melimpah memasuki premis walaupun hanya sekejap.

“Banjir kilat yang berlaku ini mungkin disebabkan sistem perparitan yang tidak mampu menampung jumlah air hujan,” katanya ketika ditemui di Jalan Bangsar, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Khirudin Drahman ketika dihubungi memaklumkan pihaknya tiada menerima sebarang panggilan kecemasan berhubung kejadian banjir kilat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 April 2018 @ 7:52 PM