GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Fuad Hadinata Yaacob

Shah Alam: Lelaki berusia 19 tahun dari Lanchang, Pahang direman empat hari mulai hari ini bagi membantu siasatan atas dakwaan menghina Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam Facebook (FB) miliknya.

Sebelum itu dia ditahan ketika memberi keterangan di IPD Shah Alam kira-kira 5 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, lelaki itu yang turut membuat laporan polis di Lanchang mendakwa ada pihak lain menggunakan namanya dalam akaun FB untuk tujuan berkenaan.

Beliau berkata, lelaki itu yang menggunakan akaun FB 'Arif Senai' itu didapati ada rekod kesalahan lampau berkaitan aktiviti perjudian.

"Kita akan siasat walaupun dia mendakwa ada individu lain menggunakan namanya dalam akaun FB.

"Telefon bimbit lelaki itu sudah dirampas untuk siasatan dan suspek direman empat hari untuk membantu siasatan.

"Kita juga akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk mengesan pemilik FB 'Aman Jebat', atas kesalahan sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Februari 2017 @ 5:26 PM