YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencemar duli menikmati cendol bersama Putera Monaco, Putera Albert II di sebuah gerai di Lanchang, di sini. FOTO Istana Negara
YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencemar duli menikmati cendol bersama Putera Monaco, Putera Albert II di sebuah gerai di Lanchang, di sini. FOTO Istana Negara
Redzuan Muharam


Temerloh: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tampil bersahaja mencemar duli menikmati cendol bersama Putera Monaco, Putera Albert II di Lanchang, di sini, semalam.

Video Al-Sultan Abdullah bersama Putera Albert II itu mendapat perhatian selepas dimuat naik menerusi Instagram (IG) Istana Negara.

Menerusi hantaran itu, baginda berdua dilihat berkunjung ke gerai Cendol Lily yang terletak di Lanchang, Pahang.

"Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkesempatan singgah menikmati minuman cendol bersama Yang Teramat Mulia Putera Monaco, Putera Albert II di gerai Cendol Lily, Lanchang, Pahang selepas tamat lawatan ke Pusat Konservasi Harimau Kebangsaan dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah," tulisnya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen memuji Al-Sultan Abdullah kerana sikap rendah diri ditonjolkan baginda apabila singgah menikmati cendol di gerai berkenaan.

"Cerminan pada kerabat raja asing betapa merendah diri Raja kita dapat bersantap di warung rakyat marhaen. Daulat Tuanku," tulis pengguna IG, Mr Bazooka.

"Best kalau dapat jumpa kerabat diraja macam Tuanku ini.. sempoi sangat... macam jumpa keluarga sendiri. Nak nangis tengok sebab baik sangat," tulis seorang lagi pengguna IG, Liz Adrisha

"Allahuakbar, terbaiklah Tuanku.…bersantap gaya rakyat dengan tetamu diraja," tulis Jackezam.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah dan Putera Albert II berkenan melawat dua pusat konservasi haiwan yang terletak di Lanchang, di sini.

Turut berangkat ialah Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan ketibaan tetamu diraja itu disambut Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Hadir sama, Menteri Sumber Manusia V Sivakumar dan Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Datuk Seri Huang Tiong Sii serta Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Datuk Abdul Kadir Abu Hashim.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2023 @ 10:42 AM