MANGSA (gambar kecil, dari kiri) Mohd Lazi,  Nurfarisha dan Nur Balqisha maut di lokasi kejadian. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
MANGSA (gambar kecil, dari kiri) Mohd Lazi, Nurfarisha dan Nur Balqisha maut di lokasi kejadian. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
Zairee Mohd Yasak


Melaka: Tiga beranak maut digilis lori pasir selepas motosikal ditunggang terbalik di Kampung Balik Bukit, Bukit Lintang, Telok Mas di sini, hari ini.

Dalam kejadian 1.30 tengah hari tadi, mangsa, Mohd Lazi Mohd Taher, 35, bersama dua anaknya, Nurfarisha Amanina, 8, dan Nur Balqisha Amani, 5, maut di tempat kejadian.

Difahamkan, mangsa yang berasal dari Taman Bukit Larang, dikatakan dalam perjalanan pulang selepas mengambil anak keduanya di Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) Kemas Bukit Larang ditemani anak sulungnya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Mas.

Menurut sumber, mangsa dipercayai cuba memotong lori 10 tan membawa muatan pasir sebelum motosikal ditunggang bergesel dengan kenderaan berat itu dan terbabas.

Tiga beranak itu kemudian digilis lori dan maut di tempat kejadian. Mayat ketiga-tiga mangsa sudah dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Melaka untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2017 @ 5:48 PM