ABDUL Rauf (kanan) harap semua pihak beri sokongan kepada barisan kepemimpinan baru FAS.
ABDUL Rauf (kanan) harap semua pihak beri sokongan kepada barisan kepemimpinan baru FAS.
Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Naib Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Abd Rauf Ahmad meminta agar segelintir pihak yang tidak berpuas hati dengan pemilihan barisan baru Exco badan induk itu supaya bertenang dan memberi ruang kepada mereka melaksanakan amanah yang diberikan.

Katanya, pemilihan pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Khamis lalu berlangsung mengikut proses perlembagaan FAS yang keputusannya harus dihormati semua pihak.

“Bagi kami peluang untuk tunjukkan kemampuan dan perbaiki kelemahan yang ada dalam FAS. Sebelum ini dengan bajet yang sedikit, pasukan Selangor masih boleh menduduki nombor empat liga dan kita mahu masalah kewangan ini diatasi.

“Bukan kami tidak mahu meletakkan harapan tinggi untuk merangkul kejuaraan dan melangkah ke tahap lebih tinggi cuma kami tidak mahu terburu-buru. Siapa yang tidak mahu menang piala.

“Biar kami stabilkan dulu kewangan pasukan, letakkan semula pasukan di landasan tepat baru kita bercerita mengenai langkah seterusnya. Kami ada visi dan misi, itu sudah pasti tapi biarlah kita beri keutamaan mana yang perlu dulu,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Barisan baru yang diterajui Datuk Seri Subahan Kamal pada EGM itu mendapat reaksi pelbagai pihak dengan ada yang menyokong dan tidak kurang juga melontarkan kritikan dengan alasan pengurusan FAS masih lagi dipengaruhi unsur politik.

Bagaimanapun, Rauf menjelaskan bahawa soal politik harus ditolak ke tepi jika individu itu berwibawa untuk memimpin FAS.

“Datuk Seri Subahan berani tampil untuk memegang jawatan itu dan beliau juga sudah terbukti berpengalaman luas dalam bola sepak. Semua orang tahu selain memegang jawatan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia, beliau juga berjaya sebagai pengurus pasukan bola sepak kebangsaan memenangi pingat Sukan SEA (2009) dan Piala AFF (2010). Beliau juga sudah lama dalam FAS selaku naib presiden sebelum ini.

“Apa yang kami ada di FAS sekarang bukan jawatan tapi tanggung jawab, jadi kenapa tidak kita sama-sama menyokong dan memajukan bola sepak Selangor. Exco FAS kali ini terdiri daripada kalangan tokoh korporat, ahli perniagaan dan bekas pemain bola sepak jadi saya percaya dengan barisan ini untuk melakukan perubahan tapi berilah sedikit masa,” katanya yang juga pengurus pasukan Red Giants.

Rauf berkata, tanpa bantuan kerajaan negeri mereka perlu mencari dana sendiri bagi menguruskan perbelanjaan pasukan dengan kos kira-kira RM15 juta musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Februari 2017 @ 5:33 AM