MASA depan pasukan Kelantan kini di tangan ahli gabungan KAFA.
MASA depan pasukan Kelantan kini di tangan ahli gabungan KAFA.
Firdaus Hashim dan Siti Nor Hidayatidayu Razali


KUALA LUMPUR: Bagi menyelamatkan bola sepak di negeri Kelantan khususnya skuad The Red Warriors, Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) memutuskan untuk mengadakan Kongres Agung Luar Biasa (EGM) pada 6 Julai bagi memenuhi hasrat ahli gabungan badan induk itu.

Timbalan Presiden KAFA, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, keputusan menyegerakan proses itu diputuskan barisan Exco dalam mesyuarat khas semalam.

“Atas dasar semangat ahli gabungan yang mahu perubahan serta merta, KAFA memutuskan untuk mengadakan pemilihan Exco bagi semua jawatan pada 6 Julai. Notis EGM akan mula dikeluarkan esok (hari ini) berserta borang pencalonan yang akan dibuka hingga 30 Jun ini.

“Sekiranya ada pertandingan atau tidak, ia akan diumumkan pada 6 Julai nanti mengikut statut persatuan yang ada ketika ini. Jadi, masa depan bola sepak Kelantan kita serahkan kembali kepada ahli gabungan. Ini peluang mereka untuk membuat pilihan tepat demi kebaikan bola sepak Kelantan yang memerlukan kepimpinan baharu,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Sebelum ini, Bibi Ramjani Ilias Khan menerusi laman sosial Facebooknya mengumumkan peletakan jawatan selepas mengharungi tempoh mencabar.

Menerusi kepimpinan Bibi Ramjani, beliau berjaya mengurangkan hutang lebih 50 peratus yang diwarisi selepas dilantik sebagai Presiden.

Bibi Ramjani menjawat jawatan Presiden KAFA pada September 2017, sekali gus memecah tradisi sebagai wanita pertama memimpin jawatan itu di Kelantan.

“Pemilihan kali ini membabitkan semua jawatan bermula dari Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden (tiga jawatan) dan sepuluh barisan Exco. Proses pemilihan ini akan berlangsung di Pejabat KAFA bermula 10 pagi (6 Julai),” katanya.

Difahamkan persaingan merebut kerusi nombor satu itu cukup sengit dengan beberapa nama dikaitkan untuk mengisi jawatan berkenaan antaranya Naib Presiden KAFA, Datuk Rosmadi Ismail dan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.

Selain dua tokoh pilihan utama itu, dua lagi pemimpin politik turut berminat iaitu Ketua PKR Cabang Bachok, Datuk Mohd Rowi Dollah yang juga Exco KAFA dan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

Sementara itu, di Kota Bharu, Bibi akan menyerahkan surat peletakan jawatannya dalam masa terdekat ini.

Bibi Ramjani berkata, ini berikutan beliau perlu menyelesaikan beberapa perkara berkaitan dokumentasi supaya tidak membebankan mana-mana pihak pada masa akan datang.

“Insya-Allah saya perlu selesaikan urusan dokumentasi untuk kebajikan exco (KAFA). Peletakan jawatan ini bagi memberi laluan kepada yang lebih layak yang dapat memenuhi kehendak Persatuan Bolasepak Jajahan (PBJ),” katanya menerusi aplikasi WhatsApp, semalam sambil menambah beliau mahu memberi tumpuan kepada perniagaannya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2019 @ 8:30 AM