Biarpun pernah alami masalah sama tapi Jac masih tidak serik. FOTO HM
Biarpun pernah alami masalah sama tapi Jac masih tidak serik. FOTO HM
Michelle Gun


Petaling Jaya: Penyanyi Jaclyn Victor mengakui mengalami tekanan teruk berikutan penganjur gagal melangsaikan bayaran baki Konsert High Note di Istana Budaya, November lalu.

"Selepas konsert itu saya sangat tertekan sehingga berat badan turun.

"Sehingga kini, penganjur masih belum melunaskan separuh daripada jumlah bayaran yang dijanjikan," katanya.

Selain Jaclyn, penyanyi Ziana Zain dan Azlan Typewriter turut terbabit dalam konsert terbabit.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Seindah Mimpi ini menyokong tindakan Ziana untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap penganjur.

"Selepas konsert itu, saya belum berkesempatan menghubungi Ziana. Kalau Ziana mahu saman penganjur, saya juga akan membuat langkah sama.

"Ini bukan soal wang tetapi sakit hati kerana kami sepatutnya menerima baki bayaran sebelum konsert," katanya.

Biarpun pernah mengalami masalah sama sebelum ini, Jaclyn berkata, dia tidak serik untuk membuat persembahan namun akan menjadikan pengalaman itu sebagai iktibar untuk lebih berhati-hati.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Februari 2017 @ 8:23 PM