TENAGA produksi Konsert High Note 2016 yang menuntut penganjur menjelaskan baki bayaran sebanyak RM200,000.   FOTO Nazran Jamel
TENAGA produksi Konsert High Note 2016 yang menuntut penganjur menjelaskan baki bayaran sebanyak RM200,000. FOTO Nazran Jamel
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Penyanyi Azlan & The Typewriter dan tenaga produksi Konsert High Note 2016 membuat laporan polis terhadap penganjur Dhia Malaika Enterprise (DME) dan Cili Merah Plantations Agro (CMP Agro) kerana kegagalan menjelaskan baki pembayaran konsert yang berlangsung di Istana Budaya, di sini, pada 25 hingga 27 November lalu.

Azlan yang diwakili pembantu peribadinya, Felicia Goh; Pengarah Persembahan, Badrul Hisham Kamarul Baharin dan Pengarah Teknikal konsert berkenaan, Ardiyilla Edzuwan Razali membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Wangsa Maju, di sini, jam 3.30 petang hari ini.

Selain Azlan, Konsert High Note 2016 turut menampilkan dua lagi penyanyi popular iaitu Ziana Zain dan Jaclyn Victor.

Difahamkan, pihak Ziana dan Jaclyn juga akan membuat laporan polis dalam masa terdekat ini.

Menerusi laporan itu mereka menuntut supaya penganjur, Mohd Hidayat Mohd Shah menjelaskan baki pembayaran untuk semua artis terbabit iaitu Azlan, Ziana dan Jaclyn serta tenaga kerja, sewa peralatan audio dan pencahayaan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM200,000.

Felicia ketika ditemui berkata, dia pernah menghubungi Mohd Hidayat beberapa kali untuk berbincang mencari jalan menyelesaikan perkara itu tetapi gagal.

"Dia berjanji akan memberikan surat akujanji peguam berkenaan cara pembayaran. Namun, hampir sebulan kami menanti tetapi semuanya janji kosong. Ada juga krew yang langsung tidak menerima sebarang bayaran.

"Ziana dan Jacyln serta beberapa pihak diberikan cek tetapi cek itu dibatalkan oleh CMP Agro," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Konsert High Note 2016 berlangsung dalam keadaan kucar-kacir kerana persiapan yang kurang sempurna daripada penganjur.

"Dia seakan mengelak apabila dihubungi. Bagaimanapun kami minta dia tampil untuk menyelesaikannya secara baik sebelum tindakan selanjutnya diambil oleh pihak polis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2017 @ 8:10 PM