MR JAYA A muncul juara Liga Penalti Ambang Tahun Baru 2017 Terbuka Besut.
MR JAYA A muncul juara Liga Penalti Ambang Tahun Baru 2017 Terbuka Besut.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pemain tidak perlu beraksi seperti biasa sebaliknya hanya perlu mengambil sepakan penalti untuk menewaskan pasukan lawan sebelum diumumkan sebagai pemenang.

Itulah kelainan yang diketengahkan penganjur kejohanan bola sepak Liga Penalti Ambang Tahun Baru 2017 Terbuka Besut, SLZ Production dengan kerjasama Pemuda UMNO Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera Besut serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mahmud 2 Besut pada pertandingan diadakan di SMK Tengku Mahmud 2, baru-baru ini.

Pengurus kejohanan Liga Penalti Sulizi Che Awang berkata, setiap pasukan tidak perlu beraksi di padang seperti biasa tetapi pemain hanya perlu mengambil sepakan penalti untuk menentukan pasukan mana yang akan melangkah ke pusingan seterusnya hinggalah muncul juara.

“Lebih menarik kejohanan ini diadakan secara liga sebelum ditentukan dengan pusingan kalah mati. Sebanyak 150 pasukan menyertai Liga Penalti ini yang dibahagikan kepada 32 kumpulan membabitkan lapan tiang gol digunakan.

“Liga Penalti ini disertai bukan hanya dari Terengganu malah pasukan dari jajahan negeri jiran termasuk dari Gua Musang, Tanah Merah, Machang, Pasir Putih, Bachok dan Kota Bharu turut bertanding bagi memeriahkan lagi liga ini.”

Dalam kejohanan edisi sulung itu, MR Jaya A dari Kampung Tok Saboh muncul juara manakala pasukan Otai FC naib juara, tempat ketiga dan keempat pula disandang pasukan Kolej Vokasional A dan RTC A.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Putera Besut Mohd Mahdi Musa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Februari 2017 @ 6:01 AM