PEMAIN SMiLE bergambar kenangan sebelum perlawanan bermula.
PEMAIN SMiLE bergambar kenangan sebelum perlawanan bermula.

Tangkak: Penantian SMK Ledang (SMiLE) lebih 20 tahun berakhir apabila muncul juara Kejohanan Bola Sepak Bawah 18 tahun Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Tangkak selepas menumpaskan SMK Tengku Mahmud Iskandar (STMI) menerusi penentuan penalti 3-2 selepas terikat 1-1 pada perlawanan sebenar, baru-baru ini.

Pada perlawanan akhir di padang SMK Tun Mamat, pasukan SMiLE dan STMI saling bertukar serangan dan mempamerkan satu perlawanan menarik.

SMiLE berjaya mendapat gol awal hasil serangan pantas pemain pada separuh masa pertama namun STMI tidak berputus asa dan berjaya mendapatkan gol penyamaan pada babak kedua.

Pada masa tambahan kedua-dua pasukan hampa kerana tidak berjaya menghasilkan sebarang gol dan perlawanan berlanjutan hingga penentuan sepakan penalti.

Jurulatih SMiLE, Indera Bin Azali berkata anak buahnya yang dilatih sejak tingkatan satu mempamerkan prestasi memuaskan dan sentiasa fokus sepanjang kejohanan.

"Kemenangan ini juga adalah hasil kerjasama semua pihak terutamanya ibu bapa, guru dan juga pihak pentadbiran sekolah" katanya yang dibantu Misnan Surip.

Amat membanggakan apabila kapten SMiLE, Muhammad Norkolis Sugianto muncul penjaring terbanyak pasukan dengan 7 gol.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2017 @ 1:59 PM