Mohd Firdaus (tengah) melakukan gimik penutup ketika majlis perasmian dan penutup Liga Sepakan Penalti. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Mohd Firdaus (tengah) melakukan gimik penutup ketika majlis perasmian dan penutup Liga Sepakan Penalti. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Firdaus Hashim


Petaling Jaya: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bakal tampil dengan idea baru bagi merancakkan lagi pembangunan bola sepak tempatan dengan bercadang mengkomersialkan lagi pertandingan Sepakan Penalti atau Raja Penalti.

Cadangan itu disuarakan Naib Presiden FAM, Mohd Firdaus Mohamed yang melihat pertandingan sosial itu boleh dijadikan satu kejohanan rasmi bagi melahirkan pemain-pemain yang berkaliber dan bersedia untuk berdepan situasi bola mati itu.

Katanya, beliau akan membawa perkara terbabit ke pengetahuan pengurusan FAM untuk meneliti dan mempertimbangkan lebih mendalam perkara berkenaan.

"Walaupun ia dianggap hanya satu pertandingan (Liga Sepakan Penalti) biasa, tetapi saya harap satu hari nanti akan dikomersialkan pertandingan seperti ini.

"Kita akan bawa ke mesyuarat seterusnya untuk kita kenal pasti perkara yang boleh ditingkatkan dalam penganjuran Liga Penalti ini.

"Bagi saya Liga Penalti ini satu pertandingan terbaik sebelum pemain-pemain berada dalam gelanggang sebenar, sebab apa tugas mengambil sepakan penalti bukan perkara mudah.

"Sebagai contoh kita tengok macam Piala Malaysia dan Piala FA yang kadang-kadang bila ambil penalti ada yang merasai tekanan ketika mengambilnya.

"Jadi bila ada pertandingan seperti ini, sekurang-kurangnya ia dapat menyerap tekanan pemain-pemain yang akan mengambil sepakan penalti itu," katanya ketika ditemui pada program Liga Penalti Rakyat (LPR) dan Raja Penalti yang berlangsung di Sports Garage, hari ini.

Dalam pertandingan LPR yang julung kali dianjurkan itu, liga yang berlangsung selama lima minggu berturut-turut dengan membabitkan penyertaan hampir 256 pasukan dari Lembah Klang.

Dengan lapan pasukan terbaik dari setiap minggu akan berentap di pusingan akhir pada 12 Disember depan bagi merebut gelaran Raja Penalti yang menyediakan hadiah lumayan RM15,000 kepada juara.

Malah, juara dan naib juara akan menyertai pemenang lain di LPR Jelajah Malaysia di saingan lebih mencabar iaitu pertandingan Liga Juara-Juara Penalti pada Julai tahun depan yang menawarkan hadiah RM30,000 kepada juara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 November 2021 @ 6:21 PM